Saturday, August 14, 2010

Mahkamah Syariah - Peguam syarie mainkan peranan penting

Utusan Malaysia 23/06/2003

Oleh Musa Awang

Peguam ialah orang yang profesionnya mengemukakan tuntutan guaman di Mahkamah, memberi nasihat atau bantuan guaman kepada pelanggannya. Peguam yang beramal di Mahkamah Syariah dibezakan dengan peguam di Mahkamah Awam (Peguam bela & Peguam cara) dengan perkataan ``Syarie' pada hujungnya. Perkataan Syarie disebut bersama perkataan Peguam.

Peguam Syarie, bererti seorang peguam yang mewakili anak guamnya dalam kes-kes mal, jenayah, pusaka, wasiat dan lain-lain yang terletak di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah.

Peguam Syarie di Mahkamah Syariah berasaskan prinsip `wakalah bi al-khusumah'. Wakalah, perkataan bahasa Arab yang bererti menjaga, melengkapkan dan menyerah. Apabila seseorang itu dikatakan `wakil' ertinya orang itu adalah sebagai penjaga, penjamin atau pelengkap ataupun kepadanya diserahkan sesuatu hal untuk dilakukannya.
Wakalah bi al-khusumah ialah orang yang mewakili seseorang yang lain dalam urusan pendakwaan dan tuntutan di hadapan hakim, baik dalam sesuatu prosiding Mahkamah ataupun perkara-perkara berhubung dengan kes yang dipertikaikan.

Banyak dalil dan bukti bahawa Islam mengiktiraf peranan peguam atau wakil dalam sesuatu perkara, antaranya :-

1. Dalam kisah Nabi Yusuf a.s. sebagaimana yang diceritakan dalam al-Quran (Surah Yusuf : 27), apabila Allah s.w.t. berfirman menunjukkan cara yang dicadangkan oleh keluarga Zulaikha bagi membuktikan tuduhan Nabi Yusuf cuba memperkosa Zulaikha. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: ``Jika baju khamisnya koyak di depan, maka wanita itu benar, dan Yusuf termasuk orang-orang yang dusta. Dan jika baju khamisnya koyak di belakang, maka wanita itulah yang dusta, dan Yusuf termasuk orang-orang yang benar.''

2. Kisah ashabul kahfi yang tertidur selama beratus-ratus tahun, dan apabila terjaga, mereka telah mengutus seorang daripada mereka sebagai wakil untuk membeli makanan (Surah al-Kahfi : 19).

3. Kisah Nabi Yusuf a.s. yang menawarkan diri baginda sebagai wakil kepada raja untuk mentadbir dan menjaga perbendaharaan Mesir, kerana baginda mempunyai keahlian dan kepakaran dalam perkara tersebut. (Surah al-Kahfi : 55)

4. Rasulullah s.a.w. pernah mengutus sahabat bernama al-Su`at untuk mengutip zakat. Baginda juga mewakilkan sahabat `Amru bin Umaiyyah al-Damiri dalam menikahkan Ummu Habibah bin Abu Sufyan.

5. Pada zaman Umar r.a., seorang wanita datang kepadanya dan membuat ikrar yang dia telah berzina. Ali r.a. bertindak sebagai peguam, telah meneliti kes tersebut dan didapati perempuan tersebut telah diperkosa. Penzinaan berlaku bukan dengan kerelaannya tetapi untuk menyelamatkan dirinya dari kebuluran (menukarkan susu kepunyaan seorang lelaki dengan dirinya). Wanita itu telah dibebaskan.

6. Kisah yang lain, seorang wanita yang didakwa dicabul oleh seorang lelaki, dan membawa bukti air mani ditubuh dan kainnya. Lelaki tersebut telah merayu kepada Umar r.a. dan Umar telah meminta pendapat Ali. Ali mengambil air mendidih dan disiramkan ke atas bekas yang didakwa air mani lelaki tersebut. Cecair itu menjadi beku dan putih dan rasanya seperti telur. Akhirnya wanita itu mengakui itu adalah tuduhan palsu dan tipu dayanya semata-mata.

7. Pada zaman Uthman bin Affan, telah berlaku perselisihan antara Hasan bin Thabit (penyair terkenal pada zaman Rasulullah s.a.w.) dengan seorang lelaki. Uthman menjatuhkan hukuman bersalah terhadap Hasan. Lalu Hasan berjumpa Abdullah bin Abbas dan menceritakan perkara sebenarnya. Kemudian Abdullah mewakili Hasan dan berhujah di hadapan Uthman. Uthman memberikan keputusan bahawa Hasan tidak bersalah.
Peguam Syarie berperanan penting di Mahkamah Syariah dengan membantu pihak-pihak dalam pertikaian, serta membantu hakim membuat keputusan. Allah s.w.t. menyeru supaya bertanya dan menyerahkan sesuatu perkara kepada orang yang ahli (mahir) mengenainya, sebagaimana firman Allah s.w.t.: ``Bertanyalah kepada orang-orang yang ahli (mahir dalam bidangnya), jika kamu tidak mengetahui.''

Peguam syarie adalah orang yang kerjanya setiap hari terlibat dengan mahkamah. Peguam syarie pasti lebih arif tentang dokumen-dokumen yang diperlukan di mahkamah. Juga arif tentang prosedur mahkamah, peruntukan undang-undang, malah mengetahui bila mood hakim baik dan bila tidak. Seperti doktor yang arif tentang penyakit, ahli farmasi arif tentang jenis ubatan, atau penjual ikan dan sayur yang arif tentang ikan dan sayur yang dijualnya, maka peguam syarie juga arif tentang mahkamah, undang-undang dan prosedur.

Membantu
Hakikatnya, peguam syarie berperanan membantu mempercepatkan perjalanan sesuatu kes di mahkamah. Kes-kes yang diwakili peguam lebih cepat diselesaikan berbanding kes-kes yang tidak diwakili peguam. Cuma segelintir peguam bermasalah, yang mana kesnya lambat diselesaikan, disebabkan tidak komited dengan profesionnya, ada `bisnes' lain, lebih sibuk dengan politik atau persatuan, atau terlalu tamak kes.
Peguam syarie juga berperanan mengimbangi antara pihak-pihak yang bertelagah di hadapan hakim, terutama apabila salah seorang pintar bercakap dan yang seorang lagi tidak. Dalam situasi ini, hakim sendiri dalam keadaan serba salah untuk membuat keputusan, dikhuatiri bias kepada satu pihak sahaja. Hakim boleh mengarahkan pihak yang lemah melantik peguam untuk keseimbangan.

Kadang-kadang dokumen yang difailkan ke mahkamah tidak lengkap, tidak cukup bahan-bahan bukti yang menyukarkan hakim untuk membuat keputusan. Seorang hakim tidak boleh memberi panduan atau menasihatkan mana-mana pihak tentang apa-apa kecacatan dokumen, prosedur, undang-undang dan sebagainya. Ini akan menimbulkan perasaan tidak puas hati pihak lawan. Di sinilah peranan peguam syarie yang arif tentang undang-undang, dokumen serta prosedur.

Peguam syarie juga berperanan mengatasi dan melindungi perasaan malu khususnya di kalangan wanita. Jika seseorang itu tidak dapat bertutur dengan baik di hadapan hakim kerana malu, takut atau `gabra', dia tidak akan dapat memberikan fakta yang sebenarnya dengan tepat. Dengan itu ditakuti tidak mencapai maksud keadilan yang diharapkan dalam perbicaraan. Juga mengatasi sifat malu untuk menceritakan sesuatu perkara yang sulit dan peribadi mengenai dirinya atau suaminya, walaupun perkara itu adalah fakta yang mesti diberitahu di hadapan mahkamah.

Peguam syarie juga membantu anak guamnya untuk membuktikan sesuatu kes di mahkamah, iaitu dakwaan, keterangan, beban pembuktian, instrumen serta elemen pembuktian, hujah dan saksi-saksi sehingga sampai ke tahap yakin. Peguam juga berperanan mewakili anak guamnya tentang kesahihan ikrar (pengakuan) serta qarinah dalam perbicaraan.

Peguam syarie juga berperanan memberi nasihat dan kaunseling kepada anak guamnya, terutama dalam soal-soal kemusykilan hukum-hakam Islam dan soal-soal berkaitan prosiding mahkamah. Peguam juga sebagai `orang tengah' atau pendamai mencari jalan penyelesaian di luar mahkamah melalui perundingan baik (sulh).

Dalam kes jenayah, apabila disabitkan bersalah, peguam mewakili anak guamnya untuk merayu supaya diringankan hukuman, dikaji semula (murajaah) atau diketepikan. Tugas peguam syarie membantu hakim agar dapat menghukum dengan adil, tepat dan berkesan.

- Musa Awang adalah Peguam Syarie di Petaling Jaya.

1 comment:

  1. saya ingin membuat aduan PS tidak beretika...kesalahan yang amat serious bersubahat dengan anakguam ingkar arahan perintah mahkamh dan menyebabkan mahkamah keluarkan notis tunjuk sebab. saya ingin mendapatkan pandangan tuan sebelum meneruskan aduan..jika sah salahlaku etika saya akan filekan aduan secara rasmi...

    ReplyDelete

musa awang: Lafaz Ta’liq Selepas Akad Nikah Bagi Negeri Di Mal...

musa awang: Lafaz Ta’liq Selepas Akad Nikah Bagi Negeri Di Mal... : (gambar hiasan) Lafaz ta’liq adalah lafaz talak tergantung yang dibaca d...