Friday, March 26, 2010

Kes lafaz cerai Radhi OAG tangguh 24 Februari

PETALING JAYA 18 Jan. - Lancar dan teratur.

Begitulah perbezaan yang dirasakan semasa menghadiri perbicaraan kes lafaz cerai kali kedua vokalis Old Automatic Garbage (OAG), Radhi di Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini berbanding dengan prosiding sebelum ini.

Bagaimanapun terdapat sedikit kelainan tindakan Radhi dan isteri, Shazlin Shariff, 30, yang menyerbu pintu dewan mahkamah sehingga berdentum dan aksi mereka yang bergegas keluar sebaik sahaja tamat prosiding.

Prosiding sebelum ini sering diwarnai oleh gelagat Radhi sama ada di dalam mahupun di luar mahkamah.

Perubahan itu mungkin disebabkan Radhi atau nama penuhnya Mohd. Radhi Razali, 30, kali ini hadir dengan peguam syarie, Musa Awang yang baru dilantiknya.

Pasangan suami isteri tersebut juga dilihat hadir bersama-sama dengan menaiki sebuah kereta yang dipandu oleh ahli keluarga Shazlin.

Sewaktu kes itu dipanggil oleh jurubahasa, Musa memohon penangguhan bagi membolehkan pembelaan terhadap tuntutan isteri anak guamnya difailkan.

Shazlin yang diwakili peguam syarie, Rubiah Jaafar tidak membantah permohonan tersebut kecuali memohon pernyataan pembelaan turut menjelaskan mengenai masa, lafaz cerai dan niat.

Hakim Syarie, Ghazali Ahmad selepas mendengar hujah kedua-dua pihak menangguhkan perbicaraan tersebut sehingga 24 Februari ini bagi membolehkan Radhi memfailkan pembelaan.

Mahkamah hari ini sepatutnya mendengar sambung bicara kes pengesahan lafaz cerai yang didakwa Shazlin dilafazkan oleh suaminya melalui satu panggilan telefon pada pukul 11.40 pagi, 25 Februari tahun lalu.

Lafaz tersebut berbunyi: "Aku ceraikan kau talak tiga terus, ok."

Ghazali sebelum ini menolak permohonan kedua-dua pihak untuk bercerai secara baik kerana mahkamah perlu menentukan sama ada jatuh talak mengikut hukum syarak dan jumlah talak.

Pada 27 Julai tahun lalu, mahkamah memutuskan pasangan itu masih suami isteri selepas Radhi membuat sumpah penafian pernah melafazkan talak buat kali pertama pada 15 September 2008.

Radhi OAG mamai makan pil tidur

Oleh Murni Wan Omar
murni@hmetro.com.my

2010/03/23

PETALING JAYA: “Saya berada dalam keadaan tidak waras dan separuh sedar akibat di bawah pengaruh pil tidur,” dakwa pelakon dan bekas vokalis kumpulan OAG, Radhi Razali yang mengakui ada menghantar SMS kepada isterinya, Shazlin Sharif.

BINCANG...Radhi (kiri) bersama peguambelanya Musa Awang di Mahkamah Syariah Petaling Jaya.

Dia berkata demikian ketika menjawab soalan Hakim Syarie Ghazali Ahmad di Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam, berhubung penyata pembelaan yang tercatat dia mengaku ada menghantar SMS kepada Shazlin pada 27 Julai 2008.

GHAZALI: Kamu mengaku ada menghantar SMS, kamu sedar atau tidak ketika itu?
RADHI: Maksud sedar?
GHAZALI: Kamu waras atau tidak ketika menghantar SMS itu?
RADHI: Mungkin separuh sedar mungkin tidak.

GHAZALI: Kenapa?
RADHI: Ketika itu mungkin saya dipengaruhi ubat tidur.

GHAZALI: SMS yang kamu hantar ini panjang?
RADHI: Saya banyak hantar SMS kepada dia (Shazlin).

GHAZALI: Kamu faham atau tidak maksud SMS yang kamu hantar ini?
RADHI: Saya pun tidak faham, banyak sangat saya hantar, saya pun tidak ingat.

Menjawab soalan peguam syarie Musa Awang yang mewakili dirinya, Radhi berkata sekitar Februari 2009 dia tidak ingat ada menceraikan isterinya melalui panggilan telefon dan tidak mempunyai niat untuk menceraikan Shazlin.

Bagaimanapun menjawab soalan berhubung SMS yang dihantar kepada isterinya, Radhi berkata, ‘terus terang saya kata tidak tahu apa yang saya hantar. Saya sampai sekarang tidak faham dengan diri saya sendiri’.

Sementara itu, Radhi kelihatan tidak selesa apabila diasak bertalu-talu oleh peguam syarie Rubiah Jaffar berhubung kejadian dia ada melafazkan cerai talak tiga melalui telefon yang didakwa Shazlin berlaku pada Februari 2009.

RUBIAH: Pada Februari 2009, kamu ada terima SMS atau panggilan daripada defendan?
RADHI: Tidak ada.

RUBIAH: Saya katakan kamu bukan tidak ingat, tetapi pura-pura tidak ingat?
RADHI: Tidak setuju.
Prosiding bersambung 19 April ini.

Pasangan itu sebelum ini sudah bersetuju untuk bercerai secara baik namun mereka perlu membuat pengesahan lafaz cerai talak tiga melalui telefon yang didakwa dilakukan pada hujung Februari 2009.

Shazlin mendakwa Radhi ada melakukan lafaz talak kali kedua sekitar Februari 2009, yang berbunyi ‘aku ceraikan kau (Shazlin) dengan talak tiga terus’ menerusi telefon pada jam 11.40 pagi.