Saturday, August 14, 2010

Kes harta: Bekas geologi Petronas fail rayuan

Utusan Malaysia 29/01/2009

SHAH ALAM 28 Jan. - Bekas ahli geologi Petronas Carigali, Muhamad Suhaimi Abdul Aziz hari ini memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan Syariah Selangor untuk merayu berhubung keputusan, namanya digugurkan daripada senarai penerima harta peninggalan arwah isteri yang dibunuh, hampir 10 tahun lalu.

Notis rayuan difailkan peguam syarie, Musa Awang di pejabat pendaftar mahkamah itu pada pukul 9.30 pagi ini. Suhaimi tidak hadir ketika notis rayuannya difailkan.
Menurut Musa, anak guamnya ingin merayu terhadap keseluruhan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada 15 Januari lalu.

Pada tarikh tersebut, Hakim Saarani Ismail telah membenarkan permohonan Amanah Raya Berhad untuk menggugurkan nama Suhaimi daripada senarai penerima pusaka (faraid) arwah Faizah Arshad berjumlah RM319,445.02. Dengan perintah itu, Suhaimi telah terhalang atau hilang kelayakan untuk menerima pusaka arwah isteri yang dibunuhnya.
Saarani juga membenarkan suatu permohonan teratur untuk penentuan pihak-pihak yang layak dalam sijil faraid yang baru. Serta kos pihak- pihak ditanggung oleh Suhaimi selaku defendan pertama untuk ditaksirkan oleh pendaftar.

Suhaimi, 48, didakwa membunuh dengan cara menikam Faizah, 37, pegawai sumber manusia Petronas Carigali dalam bilik air di rumah mereka di Bukit Damansara pada 3 petang, 25 September 1999.

Dia bagaimanapun dibebaskan daripada tuduhan itu atas alasan kurang siuman dan menjalani rawatan pemulihan di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong sehingga 4 Oktober 2007.

Kini Suhaimi menjalani hidup seperti biasa di bawah jagaan bapanya di Terengganu.
Sebelum ini, Amanah Raya Berhad selaku plaintif telah mengemukakan permohonan untuk menggugurkan nama Suhaimi yang tertera dalam sijil pembahagian harta yang berhak ke atas tiga bahagian daripada jumlah keseluruhan wang tunai RM319,445.02 peninggalan Faizah.

Selain Suhaimi, dua anak lelaki Faizah, Mohamad Fariz, 18, (defendan keempat) dan Muhamad Syafiq, 16, (defendan kelima) berhak menerima dua bahagian masing-masing sementara anak perempuannya, Sarah, 13, (defendan keenam) hanya satu bahagian, manakala Arshad dan Mariam setiap seorang berhak dua bahagian harta itu.
Amanah Raya Berhad memohon membatalkan Sijil Pembahagian Harta (faraid) bertarikh 13 Oktober 2000 dengan mengeluarkan nama Suhaimi sebagai penerima pusaka dan memohon supaya sijil baru dikeluarkan.

No comments:

Post a Comment

musa awang: Lafaz Ta’liq Selepas Akad Nikah Bagi Negeri Di Mal...

musa awang: Lafaz Ta’liq Selepas Akad Nikah Bagi Negeri Di Mal... : (gambar hiasan) Lafaz ta’liq adalah lafaz talak tergantung yang dibaca d...