Saturday, August 14, 2010

Kes cerai Roslin disebut semula 27 April

Utusan Maalaysia 24/03/2009


PETALING JAYA 23 Mac - Kes permohonan pengesahan lafaz cerai yang difailkan oleh isteri jaguh badminton negara, Faizah Mohamad akan disebut semula di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada 27 April ini berikutan notis saman masih gagal diserahkan kepada suaminya, Muhammad Roslin Hashim.

Hakim syarie, Jamil Ahmad juga memerintahkan supaya kes itu terus didengar pada tarikh tersebut sekiranya saman telah diterima oleh Roslin selain kedua-dua pihak bersedia untuk memberi keterangan.

Terdahulu, peguam syarie yang mewakili Faizah, Musa Awang memaklumkan bahawa notis saman masih belum diserahkan secara personal kepada Roslin kerana defendan tiada di rumah pada 12 Mac lalu.

Sehubungan itu, jelas beliau, notis saman itu akan cuba diserah semula kepada Roslin mengikut Seksyen 40 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Selangor) 2003, Negeri Selangor.

Musa turut memaklumkan bahawa Roslin juga tidak hadir untuk sebutan kes hari ini kerana sedang menyertai Kejohanan Badminton Terbuka di India dan hanya akan pulang pada 23 April ini.

''Saya juga telah berbincang dengan peguam Roslin agar permohonan pengesahan lafaz cerai yang difailkan oleh defendan di Kuala Lumpur ditarik balik kerana anak guam saya memfailkan permohonan yang sama lebih awal.

''Sehingga kini, pihak defendan bersetuju untuk menarik balik permohonan tersebut kerana ia membabitkan isu dan fakta yang sama,'' jelas beliau.

Roslin, 34 dan Faizah, 32, melangsungkan perkahwinan pada 30 Januari dan diraikan dalam dua majlis persandingan penuh gilang-gemilang yang dihadiri rakan taulan di Puchong dan Kota Bharu.

Kisah rumah tangga pasangan ini menggemparkan peminat badminton tanah air apabila Roslin mengaku melafazkan cerai terhadap Faizah pada kira-kira pukul 10.50 malam, 11 Februari lalu iaitu hanya 12 hari selepas bernikah.

Berikutan itu, Faizah memfailkan permohonan pengesahan lafaz di Mahkamah Rendah Syariah di sini pada 20 Februari lalu. Sementara Roslin pula memfailkan permohonan yang sama tiga hari kemudian di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.

Permohonan Roslin yang sepatutnya disebut hari ini di Kuala Lumpur pula ditangguhkan kerana hakim yang mengendalikan kes tersebut sedang berkursus.

Selain itu, Roslin turut memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini untuk mendapatkan perintah injunksi sementara bagi menghalang Faizah dan abangnya, Zulkifli Mohamad, 35, daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kes perceraian mereka kepada media.

Berikutan bantahan yang dikemukakan oleh Faizah terhadap permohonan itu, mahkamah akan mendengar hujahan lisan kedua-dua pihak pada 10 April ini.

No comments:

Post a Comment

musa awang: Lafaz Ta’liq Selepas Akad Nikah Bagi Negeri Di Mal...

musa awang: Lafaz Ta’liq Selepas Akad Nikah Bagi Negeri Di Mal... : (gambar hiasan) Lafaz ta’liq adalah lafaz talak tergantung yang dibaca d...