Undang-undang Keluarga Islam

Nota Peringatan

Segala maklumat-maklumat ini hanyalah sebagai panduan sahaja. Untuk nasihat lanjut sila berjumpa dengan Peguam Syarie bertauliah atau hubungi firma kami.


TERTIB WALI

Salah satu syarat sah nikah adalah mestilah mempunyai wali. Berikut disenaraikan tertib wali bagi memudahkan pelanggan yang ingin berkahwin membuat persediaan sebelum upacara pernikahan dijalankan.

Tertib atau susunan Wali nikah adalah seperti berikut :

1. Bapa
2. Datuk (sebelah bapa )
3. Saudara seibu sebapa
4. Saudara sebapa
5. Anak saudara seibu sebapa
6. Anak sauadara sebapa
7. Bapa saudara seibu sebapa
8. Bapa saudara sebapa
9. Sepupu seibu sebapa
10. Sepupu sebapa
11. Anak sepupu seibu sebapa
12. Anak sepupu sebapa
13. Nenek saudara seibu sebapa
14. Nenek saudara sebapa
15. Bapa sepupu seibu sebapa
16. Bapa sepupu sebapa

Wali hanya boleh berpindah kepada tertibnya kerana :

1. Meninggal dunia
2. Gila yang disahkan
3. Masih kecil dan belum baligh.


PERMOHONAN PERKAHWINAN MELALUI MAHKAMAH

Mengikut Undang-Undang Keluarga Islam yang sedang berkuatkuasa di semua negeri di Malaysia, permohonan kebenaran berkahwin hendaklah dipohon melalui Pejabat Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk di Jabatan Agama Islam Negeri di mana tempat bakal isteri itu bermastautin.

Walaubagaimanapun, terdapat beberapa kes yang perlu di rujuk oleh Pendaftar Nikah kepada Mahkamah Syariah untuk tindakan Hakim Syarie bagi mengeluarkan kebenaran berkahwin. Kes-kes tersebut ialah:

i. Pemohonan Lelaki dibawah umur 18 tahun dan perempuan dibawah umur 16 tahun

ii. Permohonan seorang perempuan janda berhias iaitu perkahwinan oleh seorang perempuan yang mendakwa telah bercerai sebelum disetubuhi oleh suaminya.

iii. Permohonan perkahwinan Wali Hakim :

1. Tiada wali yang sah dari nasab
2. Wali ghaib
3. Saudara baru atau muallaf
4. Anak tak sah taraf
5. Wali enggan
6. Wali dalam ihram/umrah
7. Wali tidak dapat dihubungi atas sebab darurat

iv. Permohonan berpoligami.

Prosedur Pendaftaran

Permohonan hendaklah dikemukakan kepada Mahkamah Rendah Syariah di tempat pemohon itu bermastautin. Dokumen-dokumen yang di perlukan bagi permohonan ini akan disediakan oleh Peguam Syarie.


HAK SUAMI & ISTERI MEMBUAT TUNTUTAN DALAM TEMPOH PERKAHWINAN

Suami dan Isteri masih mempunyai hak untuk membuat tuntutan ketika masih dalam tempoh perkahwinan. Antara tuntutan yang dibenarkan adalah:

Nafkah Diri

Mengikut Hukum Syarak, seseorang isteri yang taat berhak mendapat nafkah daripada suaminya. Undang-undang Keluarga Islam Negeri pula telah memperuntukkan bahawa Mahkamah boleh memerintah seseorang lelaki sama ada suami atau lelaki lain yang tertentu seperti anaknya yang berkemampuan (jika suami tidak upaya dari segi mental dan fizikal) membayar nafkah kepada seseorang isteri.

Hak Jagaan Anak

Mengikut Hukum Syarak, ibu adalah orang yang paling berhak menjaga anak kecilnya dalam mase perkahwinan dan juga selepas perkahwinan dibubarkan kecuali jika ia berkahwin dengan lelako lain yang bukan mahram kepada anak itu, berakhlak buruk secara keterlaluan dan terbuka, murtad, cuai atau menganiaya kanak-kanak itu dan berpindah dengan tujuan mencegah bapa kanak-kanak itu dari menjalankan pengawasan yang perlu (melainkan berpindah ke tempat lahir perempuan tersebut).

Nafkah Anak

Mengikut Hukum Syarak, bapa adalah wajib menanggung nafkah anak-anaknya yang masih di bawah tanggungannya dan yang tidak berkemampuan. Mahkamah boleh memerintahkan sesorang bapa membayar nafkah untuk faedah mana-mana anaknya jika ia telah enggan atau cuai meperuntukkan nafkah anaknya, meninggal langsung isteri dan anaknya itu dalam jagaan isterinya serta dalam masa menanti sesuatu prosiding hal ehwal suami isteri.

Tunggakan Nafkah

Tunggakan nafkah ialah nafkah yang tidak ditunaikan oleh suami kepada isterinya dalam tempoh perkahwinan dan menjadi hutang ke atas suaminya dan wajib dibayar. Tunggakan ini boleh dituntut dimana-mana Mahkamah Syariah.

Tunggakan Nafkah Anak

Tunggakan nafkah anak boleh dipohon kepada Mahkamah apabila suami atau bekas suami telah gagal melaksanakan satu perintah nafkah anak yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah. Tunggakan tersebut boleh dipohon dari tarikh kegagalan membayar perintah nafkah anak tersebut.

Hak Tempat Tinggal

Suami adalah kewajipan menyediakan tempat tinggal yang sesuai dan munasabah untuk isterinya sama ada secara menyewa atau miliknya sendiri. Isteri boleh membuat tuntutan di Mahkamah Syariah sekiranya suami tidak menyediakan keperluan tersebut dan tidak menjadi nusyuz sekiranya isteri enggan mengikut suami.

Hak Cagaran Nafkah

Isteri yang berhak mendapat nafkah daripada suaminya, boleh memohon kepada Mahkamah Syariah untuk memerintahkan ke atas suaminya supaya memberi cagaran dengan meletakkan apa-apa harta kepada pemegang-pemegang amanah yang ditentukan oleh Mahkamah bagi tujuan pembayaran nafkah atau sebahagian darinya bagi menjamin bayaran nafkah itu dapat dilaksanakan dengan teratur dan dijelaskan pada masa yang telah ditetapkan.

Nafkah Sementara

Isteri atau wakilnya, berhak memohon kepada Mahkamah satu perintah sementara nafkah bagi dirinya semasa prosiding Mahkamah sedang berjalan, sehingga satu keputusan Mahkamah Syariah muktamad dikeluarkan.

Perintah Tegahan

1. Mana-mana pihak boleh memohon kepada Mahkamah satu perintah tegahan atau larangan kepada seseorang untuk menahan dirinya dari mengganggu, mencerca, memaki hamun, menceroboh, memukul, mendera atau menganiaya keatas suami atau isteri atau bekas suami atau bekas isterinya.
2. Mana-mana pihak boleh memohon kepada Mahkamah satu perintah tegahan atau larangan menahan transaksi harta yang akan mengurangkan keupayaan mana-mana pihak melaksanakan perintah-perintah nafkah isteri, nafkah anak, harta sepencarian dan mut'ah.

Prosedur Tuntutan/Permohonan

Sebahagian tuntutan atau permohonan tersebut di atas perlu dibuat di Mahkamah Rendah Syariah dan sebahagiannya pula di Mahkamah Tinggi Syariah di tempat pemohon itu bermastautin. Dokumen-dokumen yang di perlukan bagi permohonan ini akan disediakan oleh Peguam Syarie.



PERCERAIAN & PEMBUBARAN PERKAHWINAN


Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud "Semurka-muka Allah benda yang halal ialah talaq" - Riwayat Abu Daud dan Al-Hakim

Jenis Perceraian

Perceraian yang terdapat di dalam Akta/Enakmen/Ordinan Undang-undang Keluarga Islam Negeri yang sedang berkuatkuasa di negeri-negeri adalah seperti berikut:

• Perceraian Dengan Lafaz Talaq
• Pengesahan Lafaz Talaq
• Fasakh
• Cerai Ta'liq
• Tebus Talaq/Khulu'
• Anggapan Mati

Akta/Enakmen/Ordinan Undang-undang Keluarga Islam Negeri telah memperuntukkan bahawa semua lafaz talaq hendaklah dilafazkan di hadapan Mahkamah Syariah dan dengan kebenaran Mahkamah. Adalah menjadi kesalahan sekiranya lafaz talaq tersebut dilafazkan di luar Mahkamah dan tanpa kebenaran Mahkamah.

Perceraian Dengan Lafaz Talak

Talaq ialah pembubaran ikatan perkahwinan dengan lafaz talaq atau seumpamanya berdasarkan al-Quran, as-Sunnah dan Ijmak ulama. Perceraian boleh dilakukan dengan lafaz soreh (jelas) dan lafaz kinayah (sindiran).

Pengesahan Lafaz Talak

Pengesahan Lafaz Talaq ialah talaq yang dilafazkan oleh suami di luar Mahkamah tanpa kebenaran Mahkamah sama ada dengan lafaz soreh atau lafaz kinayah. Pihak-pihak sama ada suami atau isteri, hendaklah melaporkan kepada Mahkamah dalam masa tujuh (7) hari, Mahkamah akan menyiasat dan memastikan sama ada lafaz tersebut sabit talaq atau tidak mengikut Hukum Syarak.

Fasakh

Fasakh ialah pembubaran perkahwinan disebabkan oleh sesuatu perkara yang diharuskan oleh Hukum Syarak. Di antara perkara-perkara yang mengharuskan fasakh ialah apabila suami atau isteri:
• Tidak diketahui di mana mereka berada selama tempoh lebih daripada satu (1) tahun.
• Tidak mengadakan peruntukkan nafkah isteri selama tempoh tiga (3) bulan.
• Telah dihukum penjara selama tempoh tiga (3) tahun atau lebih.
• Tidak menunaikan tanpa sebab yang munasabah nafkah batin selama satu (1) tahun.
• Telah mati pucuk.
• Telah gila selama tempoh dua (2) tahun.
• Sedang mengidap penyakit kusta atau penyakit kelamin yang berjangkit.
• Lazim menyakiti atau menjadikan kehidupan isterinya menderita.
• Berkawan dengan perempuan-perempuan jahat.
• Memaksa isteri hidup secara lucah.
• Melupuskan harta isteri.
• Menghalang isteri menunaikan kewajipan agama.
• Tidak berlaku adil kepada isteri-isterinya mengikut Hukum Syarak.
• Tidak menyetubuhi isteri dengan sengaja walaupun empat (4) bulan telah berkahwin.
• Dan apa-apa alasan lain yang di iktiraf Hukum Syarak.

Cerai Ta’liq

Ta'liq ertinya perjanjian yang telah dibuat oleh suami selepas akad nikah mengikut Hukum Syarak dan sepertimana yang diperuntukkan dalam Akta/Enakmen/Ordinan Undang-undang Keluarga Islam Negeri. Cerai ta'liq boleh disabitkan apabila berlaku pelanggaran keatas ta'liq dan setelah aduan dibuat serta disahkan oleh Mahkamah.

Tebus Talaq (Khulu’)

Perceraian tebus talaq ialah satu perceraian yang diminta oleh isteri daripada suaminya dengan wang atau harta benda sepertimana yang dipersetujui melalui ijab dan qabul. Cerai Khulu' adalah merupakan cerai bain sughra dan tidak boleh dirujuk melainkan dengan akad dan mas kahwin yang baru.

Anggapan Mati

Anggapan Mati ialah apabila suami seseorang perempuan telah mati atau dipercayai telah mati atau telah tidak didapati apa-apa perkhabaran mengenainya selama tempoh empat (4) tahun atau lebih. Apabila keadaan itu berterusan dan perempuan itu hendak berkahwin lain hendaklah terlebih dahulu mendapat perisytiharan anggapan mati daripada Mahkamah.

Prosedur Tuntutan

Tuntutan perceraian akan lebih mudah sekiranya diwakili Peguam Syarie.


HAK SUAMI & ISTERI MEMBUAT TUNTUTAN SELEPAS PERCERAIAN

Sungguhpun ikatan pernikahan telah putus akibat jatuh talaq, Islam masih memberi ruang kepada pasangan suami isteri untuk terus berhubung di antara satu sama lain dengan batas-batas pergaulan yang diharuskan oleh Hukum Syarak. Matlamat ini amat murni bagi memastikan hak-hak bekas suami isteri dan anak-anak terus dilindungi.

Hak-hak yang boleh dituntut di Mahkamah selepas sesuatu perceraian berlaku ialah:

• Nafkah Edah
• Mut'ah
• Harta Sepencarian
• Hak Jagaan Anak (Hadhanah)
• Nafkah Anak
• Tunggakan Nafkah
• Hak Tempat Tinggal

Nafkah Iddah

Nafkah iddah ialah nafkah yang wajib dibayar kepada bekas isteri di dalam temph Iddah Raj'ie disebabkan sesuatu perceraian iaitu makanan, pakaian dan tempat tinggal mengikut Hukum Syarak.

Muta’ah

Mut'ah iaitu satu bayaran yang wajib ke atas suami yang diberi kepada isteri yang telah diceraikan tanpa sebab munasah mengikut Hukum Syarak. Kadar mut'ah boleh ditentukan melalui persetujuan kedua-dua belah pihak. sekiranya terdapat pertikaian mengenai kadar ini, Mahkamah akan menentukan kadar bayaran mut'ah tersebut.

Harta Sepencarian

Harta sepencarian ialah harta yang diperolehi bersama oleh suami-isteri semasa perkahwinan berkuatkuasa mengikut syarat-syarat yang ditentukan oleh Hukum Syarak. Harta sepencarian ini boleh dituntut oleh suami atau isteri di Mahkamah yang berbidangkuasa. Harta sepencarian termasuklah wang ringgit, harta alih, harta tak alih atau apa-apa aset yang dihasilkan atas perkongsian bersama dalam tempoh perkahwinan. Tuntutan harta sepencarian ini hendaklah dikemukan ke Mahkamah Tinggi Syariah.

Tunggakan Nafkah

Tunggakan nafkah ialah nafkah yang tidak ditunaikan oleh suami kepada isterinya dalam tempoh perkahwinan dan menjadi hutang ke atas suaminya dan wajib dibayar. Tunggakan ini boleh dituntut dimana-mana Mahkamah Syariah.

Tunggakan Nafkah Anak

Tunggakan nafkah anak boleh dipohon kepada Mahkamah apabila suami atau bekas suami telah gagal melaksanakan satu perintah nafkah anak yang telah dikeluarkan oleh Mahkamah Syariah. Tunggakan tersebut boleh dipohon dari tarikh kegagalan membayar perintah nafkah anak tersebut.

Hak Jagaan Anak

Hadhanah bermaksud penjagaan anak-anak yang masih kecil yang belum berupaya untuk menguruskan dirinya sendiri.

Mengikut Hukum Syarak dan Undang-undang Keluarga Islam yang berkuatkuasa, ibu adalah yang paling berhak bagi menjaga anak-anaknya yang masih kecil (di bawah umur 7 tahun bagi lelaki dan 9 tahun bagi perempuan).

Bagi anak yang melebihi had umur di atas, jika berlaku pertikaian mengenai hak jagaan anak, Mahkamah akan menentukan berdasarkan pilihan yang dibuat oleh anak-anak tersebut sama ada hendak tinggal bersama ibu atau bapa.

Tuntutan hak jagaan anak (Hadhanah) ini hendaklah dikemukakan ke Mahkamah Tinggi Syariah.

Nafkah Anak

Nafkah anak ialah suatu nafkah wajib ke atas seseorang bagi menanggung nafkah anaknya, sama ada anak itu berada dalam jagaannya atau dalam jagaan seseorang lain.

Nafkah anak ini termasuklah makanan, pakaian, tempat tinggal, pendidikan dan perubatan sekadar mencukupi mengikut kemampuannya.

Hak Tempat Tinggal

Seseorang perempuan yang diceraikan adalah berhak tinggal di rumah di mana dia biasa tinggal semasa dalam pekahwinan selama tempoh iddah.

Prosedur Tuntutan/Permohonan

Sebahagian tuntutan atau permohonan tersebut di atas perlu dibuat di Mahkamah Rendah Syariah dan sebahagiannya pula di Mahkamah Tinggi Syariah di tempat pemohon itu bermastautin. Dokumen-dokumen yang di perlukan bagi permohonan ini akan disediakan oleh Peguam Syarie.

HUBUNGI KAMI & BUAT TEMUJANJI DENGAN PEGUAM SYARIE KAMI UNTUK MENDAPATKAN NASIHAT LANJUT...

musa awang: Lafaz Ta’liq Selepas Akad Nikah Bagi Negeri Di Mal...

musa awang: Lafaz Ta’liq Selepas Akad Nikah Bagi Negeri Di Mal... : (gambar hiasan) Lafaz ta’liq adalah lafaz talak tergantung yang dibaca d...