Saturday, August 14, 2010

Kes bekas geologis Petronas 15 Jan.

ARKIB : 19/12/2008

Oleh NORAZLITA MOHD. SIES

SHAH ALAM 18 Dis. - Mahkamah Tinggi Syariah di sini akan memutuskan buat julung kalinya dalam sejarah perundangan syariah, permohonan Amanah Raya Berhad untuk menggugurkan nama bekas ahli geologi Petronas Carigali, Muhamad Suhaimi Abdul Aziz daripada senarai penerima harta isteri yang telah dibunuhnya.

Hakim syarie, Saarani Ismail menetapkan 15 Januari 2009 untuk membuat keputusan selepas pihak-pihak terlibat memfailkan hujah bertulis masing-masing.
Terdahulunya, peguam syarie Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili Amanah Raya Berhad mengesahkan telah memfailkan hujah plaintif pada 20 November lalu.

Peguam syarie, Musa Awang yang mewakili Muhamad Suhaimi, 48, selaku defendan pertama dan peguam syarie, Hairunnajmi Najmuddin pula mewakili defendan kedua hingga keenam, masing-masing telah memfailkan penghujahan bertulis hari ini.
Dalam permohonan tersebut, Amanah Raya Berhad selaku pentadbir harta pusaka peninggalan Allahyarham Faizah Arshad, 37, eksekutif pentadbiran Petronas berjumlah RM319,445.

Plaintif menamakan Muhamad Suhaimi selaku defendan pertama, manakala bekas bapa dan ibu mertuanya, Arshad Shafiee dan Mariam Abdul Latif masing-masing defendan kedua dan ketiga.

Sementara tiga anak Allahyarham iaitu Mohamad Fariz, Muhamad Syafiq dan Sarah selaku defendan keempat hingga keenam.
Allahyarham Faizah meninggal dunia akibat ditikam bertubi-tu
bi menggunakan sebilah pisau oleh Muhamad Suhaimi pada pukul 3 petang, 25 September 1999 di bilik air tingkat bawah rumah mereka di No. 40, Lorong Setiapuspa 1, Bukit Damansara di sini.

Pakar Perunding Psikiatri Forensik, Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Ulu Kinta Perak, Dr. Rabaiah Mohd. Salleh yang merawat Muhamad Suhaimi mengesahkan dia menghidap penyakit psikotik dikenali sebagai 'gangguan dilusi' (delusional disorder) yang termasuk dalam kategori 'cemburu.'

Lantaran itu, Muhamad Suhaimi telah diletakkan di bawah jagaan Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Ulu Kinta Perak atas perkenan Yang di-Pertuan Agong sehingga 4 Oktober 2007. Dia kini menjalani hidup seperti biasa di bawah jagaan bapanya di Terengganu. Keputusan tersebut dibuat Mahkamah Persekutuan pada 19 Januari 2005.

Ekoran kejadian yang menimpa Allahyarham, Amanah Raya Berhad selaku pentadbir harta telah mengemukakan permohonan pada 1 Februari lalu agar mahkamah membuat keputusan untuk membatalkan sijil pembahagian harta (faraidh) bertarikh 13 Oktober 2000 dan mengeluarkan sijil perakuan faraidh yang baru tetapi nama Muhamad Suhaimi selaku defendan pertama dikeluarkan daripada senarai penerima pusaka arwah isterinya.

Dalam permohonan tersebut Zainul Rijal mengemukakan permohonan untuk menggugurkan nama Muhamad Suhaimi yang tertera dalam sijil pembahagian harta yang berhak ke atas tiga bahagian daripada jumlah keseluruhan wang tunai RM319,445 peninggalan Faizah.
Selain Muhamad Suhaimi, dua anak lelaki Faizah berhak menerima dua bahagian masing-masing sementara anak perempuannya hanya satu bahagian, manakala ibu bapa Faizah setiap seorang berhak dua bahagian harta tersebut.

No comments:

Post a Comment

musa awang: Lafaz Ta’liq Selepas Akad Nikah Bagi Negeri Di Mal...

musa awang: Lafaz Ta’liq Selepas Akad Nikah Bagi Negeri Di Mal... : (gambar hiasan) Lafaz ta’liq adalah lafaz talak tergantung yang dibaca d...