Saturday, August 14, 2010

Bekas bapa mertua dibenarkan wakili anak Suhaimi

ARKIB : 11/09/2008

SHAH ALAM 10 Sept. - Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini membenarkan permohonan bekas bapa mertua, Muhamad Suhaimi Abdul Aziz untuk menjadi penjaga ad-litem bagi mewakili tiga anak bekas ahli geologi Petronas Carigali itu sepanjang perbicaraan kes tuntutan Amanah Raya Berhad untuk menggugurkan namanya daripada senarai penerima harta isteri yang telah dibunuhnya.

Peranan penjaga ad-litem adalah penting dalam kes melibatkan kanak-kanak bawah umur 18 tahun.

Pada tarikh lalu, Amanah Raya Berhad selaku plaintif memohon supaya mahkamah mengisytiharkan Suhaimi tidak layak untuk mewarisi harta peninggalan Allahyarham Faizah Arshad yang telah dibunuhnya.

Amanah Raya Berhad yang diwakili peguam syarie Zainul Rijal Abu Bakar mengemukakan permohonan untuk menggugurkan nama Suhaimi yang tertera dalam sijil pembahagian harta yang berhak ke atas tiga bahagian daripada jumlah keseluruhan wang tunai RM319,445 peninggalan Faizah.

Sebelum kes itu dibicarakan, bekas bapa mertua Suhaimi mengemukakan permohonan untuk mendapatkan hak bagi penjaga ad-litem kepada cucu-cucunya yang belum cukup umur.
Suhaimi pula telah mengemukakan bantahan bagi mengetepikan permohonan bekas ibu dan bapa mertua yang memohon hak mentadbir harta peninggalan isteri ke atas ketiga-tiga anaknya.

Dalam prosiding hari ini, Hakim Syarie Saarani Ismail ketika membacakan penghakiman beliau berkata:"Dalam agama Islam telah menggariskan siapakah orang yang tidak berkeupayaan untuk mentadbir dan menguruskan sendiri hartanya iaitu kanak-kanak yang belum sempurna akal dan orang gila."

Sehubungan itu, pada hemat Hakim Syarie Saarani, jelaslah ketiga-tiga kanak- kanak tersebut termasuk dalam kategori yang memerlukan penjaga ad-litem itu bagi mewakili mereka sepanjang perbicaraan kes tuntutan yang dikemukakan Amanah Raya Berhad, didengar kelak.

Pada hemat mahkamah, datuk ialah orang yang paling layak menjalankan fungsi tersebut memandangkan kanak- kanak terbabit sejak kematian ibu mereka telah tinggal bersamanya.

Walaupun hak penjagaan hakiki anak semestinya kepada bapa dan setelah bapa meninggalkan dunia namun peranan akan beralih kepada waris sebelah bapa dengan syarat dia seorang Islam dan siuman sepenuhnya.

Lagipun sepanjang Suhaimi dirawat di Tanjung Rambutan, tiada sebarang keterangan dikemukakan untuk menunjukkan cacat celanya penjagaan ibu dan bapa mertua ke atas anak-anaknya.

Selain Suhaimi, dua anak lelaki Faizah berhak menerima dua bahagian masing-masing sementara anak perempuannya satu bahagian, manakala ibu bapa Faizah setiap seorang berhak dua bahagian harta tersebut.

Amanah Raya juga memohon membatalkan Sijil Pembahagian Harta (faraid) bertarikh 13 Oktober 2000 dengan mengeluarkan nama defendan sebagai penerima pusaka. Plaintif juga memohon supaya sijil baru dikeluarkan.

Suhaimi, kini 48 tahun, sebelum ini diletakkan di bawah jagaan Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Ulu Kinta Perak atas perkenan Yang di-Pertuan Agong sehingga 4 Oktober 2007 dan kini menjalani hidup seperti biasa di bawah jagaan bapanya di Terengganu. Keputusan tersebut dibuat Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan pada 19 Januari 2005.

Dia yang diwakili peguam syarie, Musa Awang dalam pernyataan pembelaannya tidak bersetuju sama sekali dengan perkara yang dinyatakan dalam perenggan 15 permohonan ibu bapa mertuanya. Iaitu dia tidak berkelayakan dan tiada hak untuk mewarisi harta peninggalan arwah isterinya.

Suhaimi didakwa membunuh Faizah, 37, dengan cara menikamnya menggunakan sebilah pisau pada pukul 3 petang, 25 September 1999 di bilik air tingkat bawah rumah mereka di No. 40, Lorong Setiapuspa 1, Bukit Damansara di sini.

Pakar Perunding Psikiatri Forensik, Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Ulu Kinta Perak, Dr. Rabaiah Mohd. Salleh yang merawat Suhaimi mengesahkan dia menghidap penyakit psikotik dikenali sebagai 'gangguan dilusi' (delusional disorder) yang termasuk dalam jenis 'cemburu'.

Penyakit itu, menurut pakar, menyebabkan Suhaimi mendengar suara ghaib atau halusinasi sehingga mempercayai bahawa isterinya telah berlaku curang.

No comments:

Post a Comment

musa awang: Lafaz Ta’liq Selepas Akad Nikah Bagi Negeri Di Mal...

musa awang: Lafaz Ta’liq Selepas Akad Nikah Bagi Negeri Di Mal... : (gambar hiasan) Lafaz ta’liq adalah lafaz talak tergantung yang dibaca d...