Saturday, August 14, 2010

Peguam sukar buktikan elemen nusyuz

Utusan Malaysia : 08/10/2004

Oleh Norazlita Mohd. Sies
(WARTAWAN UTUSAN)

Ramai yang berpendapat senjata yang akan digunakan oleh lelaki atau perkara pokok yang bakal dihujahkan di hadapan Hakim Syarie di Mahkamah Syariah tatkala si isteri mengemukakan permohonan untuk bercerai ialah nusyuz.

Memang seolah-olah menjadi lumrah apabila isteri mengemukakan permohonan untuk bercerai di mahkamah, hujah suami akan berkisar pada topik nusyuz (tidak mematuhi perintah yang diberi oleh suami yang sah mengikut hukum syarak).

Sungguhpun begitu, kepayahan para peguam syarie untuk membuktikan elemen nusyuz amatlah getir disebabkan tiadanya pengertian (definisi) khusus dalam undang-undang yang memperihalkan perkara tersebut.

Bahkan Peguam Syarie, Musa Awang menyatakan bahawa tiada satu kes dahuluan yang dapat dijadikan contoh atau sandaran berhubung kes nusyuz.

Kes yang pernah diputuskan hanyalah di peringkat Mahkamah Rendah dan tidak sampai ke peringkat rayuan. Malahan dakwa peguam itu, kes yang diputuskan juga tidak dilaporkan di dalam Jurnal Syariah.

Musa menjelaskan, meskipun ada perkataan nusyuz digunakan dalam Undang-Undang Keluarga Islam, namun tiada takrif khusus tentang nusus menurut hukum syarak.
Peruntukan yang ada, hanyalah samar-samar dan lebih menyentuh tentang efek (kesan) nusus dari segi nafkah. Ia bukan peruntukan khusus tentang nusyuz
Musa berpendapat bahawa peruntukan samar-samar itu tidaklah memadai malah tidak mencukupi untuk menyelesaikan polemik dalam masyarakat.

Sebagai contoh, ujar peguam itu, Seksyen 60 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003, hanya disebutkan beberapa contoh tentang nusyuz iaitu apabila isteri menjauhkan diri dari suami atau meninggalkan rumah dan enggan mengikut suami berpindah.

Sedangkan menurut Musa, pengertian nusyuz itu menurut al-Quran dan Hadis-hadis Nabi s.a.w adalah luas.

``Misalnya apabila suami mengajak isterinya bersetubuh sekalipun di atas kenderaan, isteri menolak maka itu pun dikategorikan sebagai nusyuz.

Dengan kata lain, nusus hanya wujud dari segi perkataan atau dalam bahasa undang-undang tetapi bukannya peruntukan untuk mengisytiharkan isteri nusus di mahkamah.
Justeru Musa berpendapat, ekoran tiadanya tafsiran dan peruntukan bagi membolehkan suami mengisytiharkan isterinya nusus maka ini telah mengundang lakuna (Lakuna iaitu perkara-perkara yang tidak diperuntukkan dengan nyata oleh undang-undang).
Dalam istilah undang-undang, terdapat perbezaan antara `nusus' dengan frasa `tidak menurut perintah.'

Peguam itu menyatakan, nusus dalam bahasa yang paling mudah ialah besar kepala, membangkang, membantah atau derhaka.

Walhal tambah Musa, tidak menurut perintah pula mempunyai pengertian atau definisi yang luas dan pelbagai misalnya bagaimanakah mahkamah hendak menentukan perintah suami sebagai perintah yang sah mengikut hukum syarak.
Sebagai contoh, jelas peguam itu, isteri keluar dari rumah dan suami mengarahkan isterinya pulang semula ke pangkuannya.
Adakah tindakan atau arahan suami itu, boleh dianggap sebagai satu perintah yang sah, kata Musa.

Klasifikasi yang telah dibuat menerusi Seksyen 130 Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003 iaitu bagi kesalahan isteri yang tidak menurut perintah, juga tidak begitu jelas kerana ia menggunakan terma yang kabur.
Apatah lagi sekiranya dilihat dari segi hukuman, Musa menyifatkan ia terlalu rendah dan tidak munasabah iaitu maksimum RM100 sahaja atau bagi kesalahan seterusnya, denda tidak lebih RM500.

``Sehubungan itu, untuk mencegah perbuatan nusus menjadi darah daging maka hukuman bagi kesalahan itu patut diberatkan atau ditambah bagi mengekang ia daripada berlarutan.''
``Misalnya denda dinaikkan kepada RM3,000 atau maksimum penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali,'' ujar Musa yang ternyata bimbang akan perlakuan nusus oleh isteri-isteri di alaf baru ini.

Ini kerana, peguam itu menyatakan bahawa nusus boleh mengakibatkan keruntuhan institusi kekeluargaan dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan statistik perceraian.
Mungkin kita akan terkeliru. Suami hanya boleh memohon supaya mahkamah memutuskan bahawa isteri tidak berhak untuk mendapat nafkah yang sepatutnya disebabkan dia (isteri) nusus

Tetapi suami tidak boleh mengemukakan permohonan yang sebaliknya iaitu memohon mahkamah mengisytiharkan isterinya nusus
``Tidak dapat dinafikan pengisytiharan nusus dari segi syarak adalah hak suami. Namun apabila suami memohon mahkamah mengisytiharkan isterinya nusus, mahkamah pula tiada peruntukan untuk berbuat demikian,'' ujar Musa lagi.
Menurut Musa, beliau pernah mengemukakan permohonan untuk mensabitkan isteri yang dikatakan nusus oleh suami.

``Bagaimanapun, permohonan itu ditolak mentah-mentah dengan alasan nusus adalah di bawah bidang kuasa bahagian pendakwaan Pejabat Agama Islam,'' jelas beliau.
Kemudiannya, dakwa Musa, apabila aduan nusus dimajukan kepada pejabat agama untuk membolehkan isteri didakwa di bawah Seksyen 130, tiada sebarang perkembangan mengenainya (tiada tindakan susulan untuk mendakwa isteri di mahkamah).
Peguam itu berpendapat dengan ketiadaan peruntukan dan perincian nusus, seolah-olah suami tidak boleh mengambil tindakan terhadap isterinya yang kadangkala memang ternyata nusus

Ia juga secara tidak langsung, kata Musa, telah menidakkan kuasa suami disebabkan tiadanya undang-undang untuk membolehkan suami bertindak balas atas perlakuan isteri selain daripada menggunakan alasan nusus untuk menidakkan hak isteri ke atas nafkah.

1 comment:

  1. Sy bercerai dgn bekas isteri sy bulan januari lepas...bulan lps dia menuntut nafkah iddah dan mutaah..walhal dia sedia maklum dan dia sendiri yg berlaku nusyuz berkali2 sepanjang perkahwinan iaitu keluar rumah tanpa izin, menipu suami, memburukkan suami pd keluarganya, menaikkan suara kepada suami...dia juga yg memfailkan cerai dimahkamah....tahap kesabaran sy dh smpai kekemuncak bila kali terakhir dia mohon cerai, maka sy setuju je diakhir perbicaraan....adakah bila bekas isteri mohon nafkah dia tu layak...kalo layak dh mahkamah terlalu membela nasib wanita dan kaum lelaki sahaja dipersalahkan maka langkah terbaik bubarkan sahaja mahkamah syariah....sy sebenarnya terlalu kecewa dgn jabatan agama dan mahkamah sbb setiap kali berjumpa semua hujah lebih membela wanita walaupun isteri tersebut derhaka....sy sebagai pihak yg berasa teraniaya dgn semua pihak serah sepenuh kepada Allah swt supaya diakhirat kelak diberikan pembelaan yg setimpal

    ReplyDelete