Saturday, August 14, 2010

Isteri Roslin bantah injunksi

Utusan Malaysia 14/03/2009

Oleh NOOR AZMAH IBRAHIM
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 13 Mac - Bantahan awal secara lisan oleh Faizah Mohamad terhadap permohonan injunksi bagi menghalangnya memberi kenyataan kepada media yang difailkan semalam oleh suaminya, Muhammad Roslin Hashim yang juga jaguh badminton negara, ditolak oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Hakim Syarie, Mohamad Shakir Abdul Hamid bagaimanapun memerintahkan peguam syarie yang mewakili Faizah, Musa Awang membuat bantahan secara bertulis dengan memasukkannya di dalam afidavit balasan yang perlu difailkan dalam tempoh 14 hari.
Beliau turut menetapkan 10 April ini untuk kedua-dua pihak berhujah secara lisan berhubung bantahan tersebut.

Dalam prosiding hari ini, Musa membantah permohonan Roslin untuk mendapatkan perintah injunksi itu dengan alasan ia tidak memenuhi kehendak Seksyen 45 dan 46 Akta Tatacara Mal Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan.

Katanya, saman tersebut juga hanya diserahkan kepada anak guamnya pada pukul 8 malam semalam sedangkan ia sepatutnya dibuat dalam masa dua hari.

Peguam syarie yang mewakili Roslin, Roslizam Rahim bagaimanapun berkata, beliau telah pun membuat notis perakuan segera yang memberi sebab-sebab kenapa permohonan itu perlu dipercepatkan.

Faizah yang berkebaya biru dan bertudung kelabu hadir ke mahkamah ditemani abangnya, Zulkifli, Musa dan beberapa orang rakan. Sementara Roslin turut ditemani Datuk Misbun Sidek dan Jailani Sidek.

Semalam, Roslin, 34, memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Syariah di sini untuk mendapatkan perintah injunksi sementara bagi menghalang Faizah, 32, dan Zulkifli, 35, daripada mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung kes perceraian mereka kepada media.

Roslin yang pernah menjuarai Kejohanan Badminton Terbuka Jepun 2001 memohon mendapatkan perintah agar pihak responden atau wakilnya ditegah mengeluarkan kenyataan secara langsung atau tidak langsung melalui media cetak atau elektronik mengenai peribadi beliau, ahli keluarga dan rakan-rakan yang boleh menjejaskan reputasi mereka.

Begitu juga perintah agar pihak responden dihalang daripada mengeluarkan kenyataan mengenai apa-apa fakta material berkaitan perkahwinan mereka yang boleh menyebabkan prejudis terhadap kes pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah di sini dan Petaling Jaya.

Perkahwinan Roslin dan Faizah yang berlangsung pada 30 Januari lalu telah menimbulkan kontroversi apabila Roslin mengaku melafazkan cerai terhadap isterinya selepas 12 hari mereka bernikah.

Berikutan itu, Faizah telah memfailkan permohonan pengesahan lafaz cerai di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya manakala Roslin juga berbuat demikian di Mahkamah Rendah Syariah di sini.

No comments:

Post a Comment

musa awang: Lafaz Ta’liq Selepas Akad Nikah Bagi Negeri Di Mal...

musa awang: Lafaz Ta’liq Selepas Akad Nikah Bagi Negeri Di Mal... : (gambar hiasan) Lafaz ta’liq adalah lafaz talak tergantung yang dibaca d...