Sunday, February 28, 2010

Rasul Melayu Kekal Di Penjara

Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my

Selepas gagal menyediakan RM10,000 bersama 10 penjamin penjawat awam Jusa C (Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian, Pengarah Negeri atau Pengarah Jabatan), Abdul Kahar Ahmad, 59, terpaksa dihantar ke Penjara Sungai Buloh hingga 2 Oktober ini. Abdul Kahar yang mendakwa dirinya Rasul Melayu dibenarkan ikat jamin oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini, selepas mengaku salah terhadap lima pertuduhan yang dikenakan terhadapnya semalam.

Perintah itu dibuat Hakim Syarie, Abu Zaky Mohammad dengan mengambil kira alasan dibuat peguam tertuduh, Musa Awang berikutan tindakan anak guamnya yang mengaku salah terhadap semua pertuduhan ke atasnya. Abu Zaky berkata, mahkamah mengambil kira tertuduh sebelum ini pernah diikat jamin dengan dua penjamin penjawat awam tetapi masih gagal hadir ke mahkamah untuk perbicaraan kesnya tanpa alasan.

“Mengenai anak-anak tertuduh yang sanggup menjamin bapanya dan bertanggungjawab terhadap kehadiran tertuduh pada tarikh seterusnya, mahkamah memutuskan anak-anak tertuduh sepatutnya memberi kerjasama pada peringkat awal ketika kes bermula supaya tertuduh hadir di mahkamah, tetapi mahkamah berpendapat tiada kerjasama diberikan,” katanya. Abu Zaky berkata, jika dibenarkan ikat jamin, risikonya amat tinggi dan dibimbangi akan menimbulkan persepsi negatif terhadap mahkamah dan institusi agama tetapi mahkamah membenarkan juga ikat jamin RM2,000 dengan dua penjamin penjawat awam Jusa C bagi setiap pertuduhan.

Abdul Kahar yang kelihatan bersahaja dan tenang di kandang tertuduh tidak menunjukkan sebarang reaksi, cuma beberapa ahli keluarganya kelam-kabut sambil dilihat membuat beberapa panggilan.

Pendakwaan dijalankan Ketua Pendakwa Syarie Selangor, Abdul Shukor Abdul Hamid dan dibantu Timbalan Pendakwa Syarie, Mohamad Nazri Basrawi.

Terdahulu, peguam tertuduh memohon budi bicara mahkamah memandangkan sekiranya tertuduh dilanjutkan reman Seksyen 107 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Selangor 2003 seolah-olah mahkamah sudah menjatuhkan hukuman sebelum hukuman sebenar dijatuhkan. Malah, ada enam orang yang mengikuti prosiding itu termasuk lima anaknya sanggup menjadi penjamin kepada tertuduh termasuk dua daripadanya penjawat awam kumpulan A. Alasan lain, Abdul Kahar sebelum ini beraya dalam Penjara Sungai Buloh bersama orang yang tidak dikenalinya.

Bagaimanapun, tindakan itu dibantah Abdul Shukor dengan alasan tertuduh sebelum ini gagal hadir di mahkamah selain memerlukan masa untuk mengesannya. “Alasan untuk beraya dalam lokap bukan persoalan. Kami berpendapat mahkamah tidak perlu ambil risiko. “Sebelum ini ada penjaminnya daripada penjawat awam tetapi berlaku kecuaian di pihak tertuduh,” katanya.

Bagi tuduhan pertama, ketua ajaran sesat yang diharamkan pada 1991 itu mengaku bersalah menyebarkan doktrin palsu dengan mendakwa solat cukup sekadar mencegah kemungkaran dan ibadah haji sia-sia dan merugikan.

Abdul Kahar juga didakwa membuat dakwaan palsu dengan mengisytiharkan dirinya sebagai Rasul Melayu yang bertentangan ajaran Islam.

Dia juga menghadapi tuduhan menghina Islam dengan mengeluarkan perkataan yang berbunyi ‘sekiranya ada orang yang berbuat mungkar barulah boleh solat, mencegah kemungkaran adalah rukun, mentaati Allah itu adalah sujud, tidak perlu tonggang-tonggeng dan membebel sorang-sorang (merujuk kepada solat).

Bapa enam anak itu menghadapi tuduhan keempat menyebarkan pandangan yang bertentangan fatwa dengan mendakwa sebagai Rasul Melayu, solat tidak wajib dan ibadah Haji tidak perlu ditunaikan di Makkah sebaliknya boleh dikerjakan di mana-mana saja.

Bagi tuduhan kelima, Abdul Kahar didakwa mengingkari arahan mufti apabila mengajar ajaran sesat itu di depan tiga individu lain sekali gus menghina pihak berkuasa agama yang sudah mewartakan ajaran itu sebagai sesat.

Semua tuduhan itu didakwa dilakukan antara Mei hingga Jun 2005 di rumahnya di nombor 44, Jalan Bunga Raya, Kampung Kemensah, Ulu Klang.

Abu Zaky menangguhkan kes itu pada 2 Oktober ini untuk mendengar hujah pendakwa raya dan rayuan peguam bela sebelum menjatuhkan hukuman kerana kesuntukan masa.
Abdul Kahar ditangkap pada 16 September lalu di rumah sewa di Sungai Long dan ditahan di Penjara Sungai Buloh. Dia dibawa ke mahkamah semalam untuk mendapat perintah melanjutkan waran tahanan itu.

Pada 18 September lalu, Abdul Kahar menerusi peguam belanya menghantar faksimili kepada pihak pendakwaan untuk menukar pengakuan daripada tidak bersalah kepada bersalah. Pertuduhan mengikut Seksyen 7, 8(a), 10(b), 12 (c) dan 13 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995.

Jika sabit kesalahan bagi semua pertuduhan, Abdul Kahar boleh didenda RM21,000 dan penjara beberapa tahun.

No comments:

Post a Comment

musa awang: Lafaz Ta’liq Selepas Akad Nikah Bagi Negeri Di Mal...

musa awang: Lafaz Ta’liq Selepas Akad Nikah Bagi Negeri Di Mal... : (gambar hiasan) Lafaz ta’liq adalah lafaz talak tergantung yang dibaca d...