(formerly known as Musa Awang & Associates) - PEGUAM SYARIE - MEDIATOR BERTAULIAH - PERUNDING WASIAT, HIBAH, PUSAKA - * Syarie Counsel, Accredited Mediator, Will, Gift & Heritage Counsel *
Saturday, August 14, 2010
KES SUAMI BUNUH ISTERI TUNTUT HARTA
Nama Suhaimi gugur sebagai pewaris
| |
| Muhamad Suhaimi Abdul Aziz bersama peguamnya Musa Awang keluar dari Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, semalam. |
SHAH ALAM 15 Jan. - Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini membenarkan permohonan Amanah Raya Berhad untuk menggugurkan nama bekas ahli geologi Petronas Carigali, Muhamad Suhaimi Abdul Aziz daripada senarai penerima harta peninggalan isteri yang dibunuhnya, sembilan tahun lepas.
Hakim Syarie, Saarani Ismail semasa memutuskan perkara itu berkata, Muhamad Suhaimi terhalang atau hilang kelayakan sebagai waris si mati, Faizah Arshad, mengikut mazhab Syafie yang diamalkan oleh mahkamah di Selangor dan pembunuhan yang dilakukan dianggap mempercepatkan perwarisan harta si mati kepada Muhamad Suhaimi.
Saarani berkata, keputusan itu dibuat bagi menjaga kepentingan anggota keluarga Faizah yang lebih berhak ke atas harta peninggalannya yang berjumlah RM319,445.02.
''Selain itu, mahkamah turut membenarkan satu permohonan teratur dilaksanakan untuk penentuan pihak-pihak dalam pembahagian faraid dan kos (mahkamah) ditanggung oleh Muhamad Suhaimi,'' katanya.
Muhamad Suhaimi, selaku defendan pertama hadir di mahkamah bersama peguamnya, Musa Awang sementara peguam syarie Zainul Rijal Abu Bakar hadir mewakili Amanah Raya, selaku plaintif.
Ibu bapa Faizah, Arshad Shafiee, 81, dan Mariam Abdul Latif, 74, (defendan kedua dan ketiga) bagaimanapun tidak hadir kerana uzur. Mereka hanya diwakili peguam syarie Hairunnajmi Najmuddin.
Amanah Raya sebelum ini mengemukakan permohonan untuk menggugurkan nama Muhamad Suhaimi yang tertera dalam sijil pembahagian harta yang berhak ke atas tiga bahagian daripada jumlah keseluruhan wang tunai RM319,445.02 peninggalan Faizah.
Selain Muhamad Suhaimi, dua anak lelaki Faizah, Mohamad Fariz, 18, (defendan keempat) dan Muhamad Syafiq, 16, (defendan kelima) berhak menerima dua bahagian masing-masing sementara anak perempuannya, Sarah, 13, (defendan keenam) hanya satu bahagian, manakala Arshad dan Mariam setiap seorang berhak dua bahagian harta itu.
Amanah Raya juga memohon membatalkan Sijil Pembahagian Harta (faraid) bertarikh 13 Oktober 2000 dengan mengeluarkan nama Muhamad Suhaimi sebagai penerima pusaka dan memohon supaya sijil baru dikeluarkan.
Muhamad Suhaimi, 48, didakwa membunuh dengan cara menikam Faizah, pegawai sumber manusia Petronas Carigali, dalam bilik air di rumah mereka di Bukit Damansara pada 3 petang, 25 September 1999.
Dia bagaimanapun dibebaskan daripada tuduhan itu atas alasan kurang siuman dan menjalani rawatan pemulihan di Hospital Bahagia, Tanjung Rambutan atas perkenan Yang di-Pertuan Agong sehingga 4 Oktober 2007.
Dia kini menjalani hidup seperti biasa di bawah jagaan bapanya di Terengganu.
Terdahulu, dalam penghakimannya, Saarani berkata, keempat-empat mazhab dalam Islam iaitu mazhab Imam Shafie, Imam Maliki, Imam Hambali dan Imam Hanafi sepakat berpendapat bahawa pembunuh adalah dihalang daripada mewarisi harta orang yang dibunuhnya, tetapi mempunyai pendapat berlainan mengenai cara pembunuhan itu dilakukan.
''Berdasarkan Imam Shafie, seorang pembunuh tidak layak untuk mewarisi harta orang yang dibunuhnya sama ada dibuat secara sengaja atau tidak sengaja atau terpaksa. Mahkamah bersetuju dengan pendapat Imam Shafie bahawa seorang pembunuh adalah terhalang untuk mewarisi (harta orang yang dibunuhnya) termasuk orang tidak siuman.
''Pendapat ini bagi menjaga hubungan kekeluargaan kerana pembunuhan boleh dikatakan sebagai cuba untuk mempercepatkan perwarisan harta kepadanya. Mahkamah secara asasnya mengambil kira empat pendapat itu tetapi daripada sudut pengalaman ia lebih mengutamakan pendapat Shafie,'' katanya.
Selain itu, Saarani berkata, walaupun Muhamad Suhaimi dibebaskan oleh Mahkamah Persekutuan kerana tidak siuman, mahkamah itu bagaimanapun tidak menafikan bahawa pembunuhan telah dilakukan.
Beliau juga bersetuju dengan hujahan peguam defendan kedua hingga keenam bahawa faktor alat yang digunakan oleh pembunuh boleh mensabitkan niat membunuh.
''Dalam kes ini laporan menyebut defendan satu (Muhamad Suhaimi) menggunakan sebilah pisau. Mahkamah berpendapat faktor ini konsisten dengan pendapat mazhab Syafie bahawa alat yang boleh dikategorikan sebagai alat pembunuh ialah alat tajam yang boleh memotong daging dan benda keras. Jadi ini boleh dikategorikan sebagai bunuh dengan niat,'' katanya.
Sementara itu, Muhamad Suhaimi ketika ditemui pemberita di luar mahkamah enggan memberi sebarang komen.
Musa ketika ditanya sama ada akan mengemukakan rayuan berhubung keputusan mahkamah itu berkata, beliau perlu menunggu arahan selanjutnya daripada Muhamad Suhaimi.
''Buat masa ini beliau (Muhamad Suhaimi) kecewa dan terkejut dengan keputusan mahkamah lebih-lebih lagi setelah mahkamah putuskan bahawa beliau perlu menanggung kos semua pihak sedangkan beliau hadir sebagai defendan dan bukan pihak yang mengemukakan permohonan itu,'' katanya.
- Bernama
Perintah Mahkamah Syariah selalu diperlekehkan
Oleh Norazlita Mohd Sies (Wartawan Utusan)
Bila sebut sahaja tentang perintah mahkamah, pihak-pihak yang diperintahkan itu mestilah akur dengan keputusan yang telah dibuat terhadap mereka.
Meskipun begitu, terdapat segelintir golongan yang bukan sahaja sudah tepu dan mengambil sikap acuh tak acuh malah ada yang mempertikaikan arahan atau perintah yang dikeluarkan.
Fenomena ini boleh dikatakan jarang berlaku di Mahkamah Jenayah dan Sivil tetapi berlainan situasinya dengan Mahkamah Syariah.
Ini kerana, ada pihak yang berurusan dengan Mahkamah Syariah dilihat seolah-olah tidak takut dan memandang remeh perintah atau hukuman yang dikenakan.
Bagi mereka perintah Mahkamah Syariah bukannya perintah Allah atau Rasul sebaliknya perintah manusia yang berbentuk duniawi dan bukannya akhirat.
Walhal mematuhi perintah mahkamah adalah sebahagian daripada mematuhi perintah Allah dan Rasul kerana perintah tersebut dikeluarkan oleh pemerintah atau pihak berkuasa.
Pun begitu, perintah atau hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Jenayah dan Sivil yang juga berorientasikan undang-undang duniawi dilihat lebih digeruni berbanding hukuman Mahkamah Syariah yang kerap ditertawakan dan diperlekeh-lekehkan.
Pengamal undang-undang syarie yang merupakan pemilik firma guaman Musa Awang & Associates, Musa Awang berpendapat keengganan dan kedegilan pihak-pihak tertentu mematuhi perintah Mahkamah Syariah berpunca daripada institusi itu sendiri.
Musa berkata, berdasarkan pengalamannya, Mahkamah Syariah ada kalanya tidak begitu tegas dan terlalu bertolak ansur ketika memutuskan dan mengambil tindakan terutamanya bagi mereka yang melakukan kesalahan menghina dan mengingkari perintah mahkamah.
Memang benar adalah tidak adil jika hanya menuding jari dan menyalahkan mahkamah seratus peratus dalam hal ini.
Ini kerana, jelas Musa, bukan semua hakim tidak tegas ketika menjalankan tugas.
``Saya pernah berhadapan dengan kes di mana seorang ayah berjaya menjelaskan tunggakan nafkah anaknya sebanyak RM12,000 dalam masa beberapa jam setelah hakim yang mendengar permohonan itu dengan tegas memberi pilihan kepadanya sama ada bayar ataupun masuk penjara,'' katanya.
Ketegasan
Musa bagaimanapun menjelaskan, beliau menyedari hakikat bahawa ketegasan seseorang hakim sememangnya dibatasi undang-undang dan berlandaskan kepada prosedur serta bidang kuasa yang telah diperuntukkan kepada mereka.
Namun katanya, bila dikaji peruntukan undang-undang yang ada, tidak dapat disangkal bahawa hukuman atau penalti yang boleh dikenakan oleh Mahkamah Syariah jika dibandingkan, tidaklah setinggi hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Jenayah dan Sivil.
Sebagai contoh, dalam Seksyen 15 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, hukuman ke atas orang yang mengingkari, melanggar, mempersendakan atau menyebabkan dipandang hina apa-apa perintah hakim atau mahkamah hanya boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.
Selain itu, pengamal undang-undang syarie itu turut berpendapat bahawa kegagalan pihak terbabit mematuhi perintah mahkamah juga disebabkan oleh sikap `pemiutang penghakiman' sendiri.
Misalnya, jelas Musa, dalam kes di mana bekas suami (penghutang penghakiman) diperintahkan membayar nafkah idah dan mutaah kepada isteri (pemiutang penghakiman).
``Sikap isteri yang tidak mengambil langkah susulan yang sewajarnya untuk menggesa bekas suami menjelaskan nafkah tersebut menyebabkan mereka merasa berada dalam situasi selesa dan menjadi `besar kepala'.
``Ada juga segelintir isteri yang malas untuk memanjangkan kes mereka dan tidak kurang pula yang bersungut serta menganggap bahawa merujuk kes ke mahkamah hanya membazirkan wang dan masa,'' katanya.
Dalam soal ini, menurut Musa, beliau amat bersimpati dengan kaum wanita yang berhempas-pulas memperjuangkan nasib mereka dan anak-anak di mahkamah.
Katanya, walaupun perintah demi perintah dikeluarkan oleh mahkamah kepada bekas suami namun ia ibarat mencurah air ke daun keladi.
Sikap keegoan dan kedegilan si suami yang enggan mematuhi perintah tersebut, jelas Musa, bukan sahaja menyeksa bekas isteri bahkan ia seolah-olah sengaja mencabar kewibawaan mahkamah.
Sebenarnya terdapat beberapa langkah yang boleh diambil oleh kaum wanita dalam usaha memastikan bekas suami mematuhi perintah yang telah dikenakan, ujar Musa.
``Seksyen 220 Enakmen Kanun Prosedur Mal Syariah Selangor 1991 misalnya membolehkan mahkamah memanggil pihak yang ingkar memberi notis tunjuk sebab mengapa bekas suami tidak boleh dipenjarakan kerana kesalahan menghina perintah mahkamah.
``Ataupun Seksyen 15 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, isteri boleh membuat aduan kepada Bahagian Pendakwaan Pejabat Agama Islam supaya mengambil tindakan jenayah terhadap bekas suami kerana ingkar perintah mahkamah yang membolehkan mereka didakwa atas kesalahan tersebut,'' katanya.
Bagi kes yang melibatkan bayaran pula, jelas Musa, isteri boleh memohon perintah supaya mahkamah merampas dan menjual harta alih milik penghutang (suami).
``Undang-undang turut membenarkan isteri memohon supaya mahkamah menahan harta alih pihak penghutang (suami) yang berada dalam milik pihak ketiga sehingga penghutang berkenaan menyelesaikan apa yang diperintahkan oleh mahkamah terhadapnya,'' katanya.
Selain itu, tambah Musa, isteri dibolehkan mendapatkan perintah mahkamah agar hutang pihak ketiga kepada penghutang (suami) dibayar kepada bekas isteri untuk menjelaskan bayaran perintah yang belum dilaksanakan.
Saham
Mengenai saham pula, kata Musa, mereka (isteri) boleh memohon kebenaran mahkamah supaya menahan saham milik penghutang berserta dividen dan bonus sehingga mereka menjelaskan pembayaran.
Beliau menyatakan bahawa sekiranya mahkamah telah mengeluarkan perintah agar sesuatu harta milik penghutang ditahan maka ia tidak boleh dipindah milik kecuali ada perintah susulan yang membenarkan mereka berbuat demikian.
``Bagi suami yang bekerja dan mempunyai pendapatan tetap, bekas isteri boleh meminta bayaran pelaksanaan perintah dibuat melalui potongan gaji penghutang,'' jelasnya.
Perlu ditegaskan di sini, kata Musa, pihak pemohon (isteri) tidak perlu takut dan bimbang mereka dianggap `zalim' bila mengemukakan permohonan-permohonan tersebut kerana ia memang telah termaktub dalam undang-undang.
``Adalah menjadi kewajipan suami untuk mematuhi dan melaksanakan apa yang telah diperintahkan oleh mahkamah dan bekas isteri sememangnya berhak atas segala haknya,'' katanya.
Dalam banyak hal yang melibatkan tuntutan nafkah anak, menurut Musa, suami seringkali melewat-lewatkan pembayaran dengan alasan mereka tidak mampu.
``Jika benar-benar tidak mampu, mereka sepatutnya mengemukakan permohonan kepada mahkamah untuk mengubah perintah asal dan bukannya membangkitkan isu tersebut selepas bekas isteri mengambil tindakan.
``Ingatlah, perintah yang telah dikeluarkan akan terus berjalan dan berkuat kuasa melainkan ada perintah susulan yang lain yang mengubah perintah asal,'' nasihatnya.
Segala kelemahan dan kritikan, pada pendapat Musa boleh ditangani dengan bijak agar ia tidak mencacatkan imej institusi kehakiman syarie.
Beliau antaranya mengesyorkan supaya Mahkamah Syariah menubuhkan suatu komiti khusus untuk mendengar dan memutuskan kes-kes berkaitan dengan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah bayaran.
``Pada pandangan saya, kes pelaksanaan perintah nafkah patut diasingkan daripada kes-kes lain,'' katanya.
Dari segi hukuman pula, katanya, Mahkamah Syariah sepatutnya diberi kuasa menjatuhkan hukuman yang lebih berat dalam usaha memartabatkan kembali imej institusi tersebut agar lebih digeruni.
Di samping itu, tegas beliau, hukuman yang lebih tinggi secara tidak langsung diharap dapat memberi pengajaran dan mengekang kedegilan pihak tertentu yang sengaja memperkotak-katik serta enggan mematuhi perintah yang dikenakan.
Mahkamah Syariah - Peguam syarie mainkan peranan penting
Oleh Musa Awang
Peguam ialah orang yang profesionnya mengemukakan tuntutan guaman di Mahkamah, memberi nasihat atau bantuan guaman kepada pelanggannya. Peguam yang beramal di Mahkamah Syariah dibezakan dengan peguam di Mahkamah Awam (Peguam bela & Peguam cara) dengan perkataan ``Syarie' pada hujungnya. Perkataan Syarie disebut bersama perkataan Peguam.
Peguam Syarie, bererti seorang peguam yang mewakili anak guamnya dalam kes-kes mal, jenayah, pusaka, wasiat dan lain-lain yang terletak di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah.
Peguam Syarie di Mahkamah Syariah berasaskan prinsip `wakalah bi al-khusumah'. Wakalah, perkataan bahasa Arab yang bererti menjaga, melengkapkan dan menyerah. Apabila seseorang itu dikatakan `wakil' ertinya orang itu adalah sebagai penjaga, penjamin atau pelengkap ataupun kepadanya diserahkan sesuatu hal untuk dilakukannya.
Wakalah bi al-khusumah ialah orang yang mewakili seseorang yang lain dalam urusan pendakwaan dan tuntutan di hadapan hakim, baik dalam sesuatu prosiding Mahkamah ataupun perkara-perkara berhubung dengan kes yang dipertikaikan.
Banyak dalil dan bukti bahawa Islam mengiktiraf peranan peguam atau wakil dalam sesuatu perkara, antaranya :-
1. Dalam kisah Nabi Yusuf a.s. sebagaimana yang diceritakan dalam al-Quran (Surah Yusuf : 27), apabila Allah s.w.t. berfirman menunjukkan cara yang dicadangkan oleh keluarga Zulaikha bagi membuktikan tuduhan Nabi Yusuf cuba memperkosa Zulaikha. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: ``Jika baju khamisnya koyak di depan, maka wanita itu benar, dan Yusuf termasuk orang-orang yang dusta. Dan jika baju khamisnya koyak di belakang, maka wanita itulah yang dusta, dan Yusuf termasuk orang-orang yang benar.''
2. Kisah ashabul kahfi yang tertidur selama beratus-ratus tahun, dan apabila terjaga, mereka telah mengutus seorang daripada mereka sebagai wakil untuk membeli makanan (Surah al-Kahfi : 19).
3. Kisah Nabi Yusuf a.s. yang menawarkan diri baginda sebagai wakil kepada raja untuk mentadbir dan menjaga perbendaharaan Mesir, kerana baginda mempunyai keahlian dan kepakaran dalam perkara tersebut. (Surah al-Kahfi : 55)
4. Rasulullah s.a.w. pernah mengutus sahabat bernama al-Su`at untuk mengutip zakat. Baginda juga mewakilkan sahabat `Amru bin Umaiyyah al-Damiri dalam menikahkan Ummu Habibah bin Abu Sufyan.
5. Pada zaman Umar r.a., seorang wanita datang kepadanya dan membuat ikrar yang dia telah berzina. Ali r.a. bertindak sebagai peguam, telah meneliti kes tersebut dan didapati perempuan tersebut telah diperkosa. Penzinaan berlaku bukan dengan kerelaannya tetapi untuk menyelamatkan dirinya dari kebuluran (menukarkan susu kepunyaan seorang lelaki dengan dirinya). Wanita itu telah dibebaskan.
6. Kisah yang lain, seorang wanita yang didakwa dicabul oleh seorang lelaki, dan membawa bukti air mani ditubuh dan kainnya. Lelaki tersebut telah merayu kepada Umar r.a. dan Umar telah meminta pendapat Ali. Ali mengambil air mendidih dan disiramkan ke atas bekas yang didakwa air mani lelaki tersebut. Cecair itu menjadi beku dan putih dan rasanya seperti telur. Akhirnya wanita itu mengakui itu adalah tuduhan palsu dan tipu dayanya semata-mata.
7. Pada zaman Uthman bin Affan, telah berlaku perselisihan antara Hasan bin Thabit (penyair terkenal pada zaman Rasulullah s.a.w.) dengan seorang lelaki. Uthman menjatuhkan hukuman bersalah terhadap Hasan. Lalu Hasan berjumpa Abdullah bin Abbas dan menceritakan perkara sebenarnya. Kemudian Abdullah mewakili Hasan dan berhujah di hadapan Uthman. Uthman memberikan keputusan bahawa Hasan tidak bersalah.
Peguam Syarie berperanan penting di Mahkamah Syariah dengan membantu pihak-pihak dalam pertikaian, serta membantu hakim membuat keputusan. Allah s.w.t. menyeru supaya bertanya dan menyerahkan sesuatu perkara kepada orang yang ahli (mahir) mengenainya, sebagaimana firman Allah s.w.t.: ``Bertanyalah kepada orang-orang yang ahli (mahir dalam bidangnya), jika kamu tidak mengetahui.''
Peguam syarie adalah orang yang kerjanya setiap hari terlibat dengan mahkamah. Peguam syarie pasti lebih arif tentang dokumen-dokumen yang diperlukan di mahkamah. Juga arif tentang prosedur mahkamah, peruntukan undang-undang, malah mengetahui bila mood hakim baik dan bila tidak. Seperti doktor yang arif tentang penyakit, ahli farmasi arif tentang jenis ubatan, atau penjual ikan dan sayur yang arif tentang ikan dan sayur yang dijualnya, maka peguam syarie juga arif tentang mahkamah, undang-undang dan prosedur.
Membantu
Hakikatnya, peguam syarie berperanan membantu mempercepatkan perjalanan sesuatu kes di mahkamah. Kes-kes yang diwakili peguam lebih cepat diselesaikan berbanding kes-kes yang tidak diwakili peguam. Cuma segelintir peguam bermasalah, yang mana kesnya lambat diselesaikan, disebabkan tidak komited dengan profesionnya, ada `bisnes' lain, lebih sibuk dengan politik atau persatuan, atau terlalu tamak kes.
Peguam syarie juga berperanan mengimbangi antara pihak-pihak yang bertelagah di hadapan hakim, terutama apabila salah seorang pintar bercakap dan yang seorang lagi tidak. Dalam situasi ini, hakim sendiri dalam keadaan serba salah untuk membuat keputusan, dikhuatiri bias kepada satu pihak sahaja. Hakim boleh mengarahkan pihak yang lemah melantik peguam untuk keseimbangan.
Kadang-kadang dokumen yang difailkan ke mahkamah tidak lengkap, tidak cukup bahan-bahan bukti yang menyukarkan hakim untuk membuat keputusan. Seorang hakim tidak boleh memberi panduan atau menasihatkan mana-mana pihak tentang apa-apa kecacatan dokumen, prosedur, undang-undang dan sebagainya. Ini akan menimbulkan perasaan tidak puas hati pihak lawan. Di sinilah peranan peguam syarie yang arif tentang undang-undang, dokumen serta prosedur.
Peguam syarie juga berperanan mengatasi dan melindungi perasaan malu khususnya di kalangan wanita. Jika seseorang itu tidak dapat bertutur dengan baik di hadapan hakim kerana malu, takut atau `gabra', dia tidak akan dapat memberikan fakta yang sebenarnya dengan tepat. Dengan itu ditakuti tidak mencapai maksud keadilan yang diharapkan dalam perbicaraan. Juga mengatasi sifat malu untuk menceritakan sesuatu perkara yang sulit dan peribadi mengenai dirinya atau suaminya, walaupun perkara itu adalah fakta yang mesti diberitahu di hadapan mahkamah.
Peguam syarie juga membantu anak guamnya untuk membuktikan sesuatu kes di mahkamah, iaitu dakwaan, keterangan, beban pembuktian, instrumen serta elemen pembuktian, hujah dan saksi-saksi sehingga sampai ke tahap yakin. Peguam juga berperanan mewakili anak guamnya tentang kesahihan ikrar (pengakuan) serta qarinah dalam perbicaraan.
Peguam syarie juga berperanan memberi nasihat dan kaunseling kepada anak guamnya, terutama dalam soal-soal kemusykilan hukum-hakam Islam dan soal-soal berkaitan prosiding mahkamah. Peguam juga sebagai `orang tengah' atau pendamai mencari jalan penyelesaian di luar mahkamah melalui perundingan baik (sulh).
Dalam kes jenayah, apabila disabitkan bersalah, peguam mewakili anak guamnya untuk merayu supaya diringankan hukuman, dikaji semula (murajaah) atau diketepikan. Tugas peguam syarie membantu hakim agar dapat menghukum dengan adil, tepat dan berkesan.
- Musa Awang adalah Peguam Syarie di Petaling Jaya.
Poligami - Khusus untuk suami istimewa
Oleh Musa Awang
Keharusan berpoligami dibolehkan kepada semua lelaki Islam. Walau bagaimanapun, tidak semua lelaki Islam boleh berpoligami. Poligami sebenarnya khusus untuk lelaki atau suami yang istimewa sahaja.
Lelaki atau suami istimewa ialah suami yang mempunyai kelebihan-kelebihan khas, yang tidak terdapat pada lelaki-lelaki lain. Kelebihan-kelebihan ini membolehkan dia mengatasi segala cabaran, halangan dan rintangan yang perlu ditempuhi, apabila berhasrat untuk berpoligami.
Cabaran, halangan dan rintangan ini bukan sahaja selepas berpoligami, malah sebelum berpoligami. Jika halangan dan rintangan ini berjaya ditempuhi, barulah dia seorang lelaki istimewa dan layak untuk berpoligami.
Kelebihan utama yang perlu ada pada seorang suami yang ingin berpoligami ialah mampu dan berkuasa menanggung nafkah isteri-isteri dan orang di bawah tanggungannya.
Nafkah adalah perkara penting dalam rumahtangga, dan ia menjadi kewajipan suami. Bahkan haram hukumnya seseorang itu berkahwin, sedangkan tidak mampu memenuhi keperluan nafkah isterinya.
Firman Allah s.w.t. (Al-Baqarah:233) yang bermaksud : ``Dan kewajipan suami memberi makan dan pakaian kepada isteri dengan cara yang baik.'' Rasulullah s.a.w. juga bersabda yang bermaksud : ``Takutilah Allah dalam urusan kaum wanita. Kerana kamu mengambil mereka dengan amanah Allah dan kamu menghalalkan persetubuhan dengan mereka dengan nama Allah. Bagi mereka tanggungjawab atas kamu untuk memberi nafkah makan minum dan pakaian dengan cara yang baik.''
Tidak semua lelaki mampu dan memiliki keistimewaan untuk menanggung nafkah ramai isteri dan ramai tanggungan. Kemampuan untuk menanggung nafkah ini adalah bermaksud ``menggandakan tanggungjawab'' bukan ``mengurangkan tanggungjawab sedia ada''. Apabila seseorang suami berpoligami, tanggungjawabnya bertambah, sama ada tanggungjawab ekonomi, sosial dan keagamaan.
Suami yang berpoligami, tetapi kemudian mengurangkan komitmen kepada isteri sedia ada dan anak-anak, maka sebenarnya dia bukanlah lelaki istimewa yang layak untuk berpoligami.
Jika selepas berpoligami memudaratkan isteri dan anak-anak, misalnya makan minum tidak mencukupi, tempat tinggal tidak terurus dan sebagainya, suami tidak layak. Dan hukum berpoligami boleh membawa kepada haram.
Sebab itu, ramai suami yang tidak mempunyai ciri-ciri keistimewaan ini, mengambil jalan alternatif berkahwin tanpa kebenaran Mahkamah. Kemudian timbul masalah tidak dapat menanggung nafkah isteri-isteri serta anak-anak. Makan minum tidak cukup, yuran dan buku sekolah anak-anak tidak berbayar. Ada kes isteri kedua memohon cerai kerana suami tidak memberi nafkah.
Ciri keistimewaan berikutnya, ialah kebolehan untuk berlaku adil. Adil adalah syarat utama untuk suami berpoligami. Ayat al-Quran tentang keharusan berpoligami (surah An-Nisa' ayat 3) jelas menyebutkan perkataan `adil', yang bermaksud: ``Kahwinilah wanita-wanita yang kamu sukai, dua, tiga dan empat. Tetapi jika kamu khuatir tidak dapat berlaku adil (antara wanita-wanita itu), hendaklah satu sahaja atau budak yang dalam milikmu. Ini paling dekat kepada kamu supaya tidak berlaku curang.''
Keadilan yang dimaksudkan di dalam ayat di atas ialah perkara-perkara yang boleh dilakukan mengikut fitrah kejadian manusia, seperti keadilan dari segi makan minum, pakaian, tempat tinggal, giliran bermalam serta waktu yang dihabiskan oleh seorang suami dengan tiap-tiap isterinya). Walau bagaimanapun, tidak semua lelaki mempunyai keistimewaan untuk membahagi-bahagikan perkara ini secara adil.
Lelaki yang ingin berpoligami perlu berfikir, menilai dan mengkaji perkara ini terlebih dahulu, adakah dia boleh berlaku adil kepada isteri-isterinya? Arahan supaya berfikir, menilai dan mengkaji terlebih dahulu ini adalah arahan Allah s.w.t. dalam ayat di atas.
Perkataan `jika kamu khuatir tidak dapat berlaku adil' menghendaki suami berfikir, mengkaji dan membuat penilaian terlebih dahulu, sebelum berpoligami. Bolehkah adil atau tidak? Kalau yakin boleh, kahwinlah sehingga empat sekalipun. Tetapi jika tidak yakin boleh, atau lebih kepada tidak berlaku adil, satu sahaja sudah cukup. Bukannya disuruh berkahwin dahulu, kemudian baru hendak berfikir soal keadilan.
Cabaran seterusnya yang perlu dihadapi oleh suami yang ingin berpoligami ialah cabaran untuk menerangkan maksud hati kepada isteri yang sedia ada.
Kemudian cabaran bagi menghadapi respons isteri, setelah diberitahu hasrat untuk berpoligami. Bolehkah isteri menerima dengan hati terbuka? Jika ya, alhamdulillah. Ataupun sebaliknya, isteri tidak boleh menerima.
Majoriti wanita fobia apabila suami menyebut perkataan `poligami'; marah, bermasam muka, tidak mahu bercakap, tidur berpaling muka dan sebagainya.
Paling dahsyat diiringi sumpah seranah dan maki hamun atau sampai ke tahap meminta cerai. Inilah antara cabaran-cabaran yang perlu dihadapi oleh seorang suami yang berhasrat untuk berpoligami.
Realitinya, lelaki atau suami yang istimewa, dia langsung tidak gentar untuk memberitahu isteri mengenai hasratnya. Secara `gentlemen' dan berhati waja, dia juga tidak gentar dan bersedia menghadapi apa jua respons daripada isteri. Dan hanya lelaki atau suami istimewa sahaja yang mempunyai sifat keberanian ini.
Lelaki istimewa tidak akan berkahwin senyap-senyap atau kahwin dahulu, kemudian baru hendak memberitahu isteri.
Ada suami yang tidak istimewa, tetapi masih hendak berpoligami. Sebab itu ada yang mengambil jalan alternatif, berkahwin senyap-senyap.Apabila isteri mengetahui selepas itu, isteri marah pun tidak mengapa, sebab sudah berkahwin. Apa yang isteri boleh buat?
Sesetengah kes, kerukunan rumahtangga tergugat akibat perkara ini. Isteri mendakwa suami menipu, berkahwin tidak memberitahu dan sebagainya.
Lelaki yang ingin berpoligami perlu bermuhasabah, menilai dan mengkaji diri sendiri, adakah dia lelaki istimewa yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t. dengan ciri-ciri tersebut di atas. Adakah dia berani memberitahu isteri tentang hasratnya? Adakah dia boleh menanggung nafkah isteri dan anak-anak lebih daripada seorang? Adakah dia boleh berlaku adil kepada isteri-isterinya?
Arahan supaya berfikir, mengkaji dan menilai terlebih dahulu ini adalah arahan Allah s.w.t. dalam surah an-Nisa' di atas.
Lelaki atau suami yang ingin berpoligami juga perlu membuat siasatan terperinci, kaji selidik dan buat paper work untuk menentukan apa kelebihan dan apa keburukannya jika dia berpoligami.
Tiga persoalan di atas perlu diberi jawapan dengan ikhlas. ``Adakah aku boleh menanggung nafkah isteri-isteri dan anak-anak (yang sedia ada dan bakal lahir)? Adakah aku boleh berlaku adil kepada isteri-isteri, dan adil kepada anak-anakku nanti? Dan ketiga, beranikah aku memberitahu isteri pertama, dan beranikah aku menghadapi apa jua tindakan isteri?''
Kajian juga hendaklah mengambil kira adakah perkahwinan poligami itu akan mendatangkan darar syarie kepada isteri yang sedia ada dan anak-anaknya. Darar syarie maksudnya apa sahaja kemudaratan fizikal dan mental, rohani dan jasmani kepada isteri dan anak-anak.
Siasatan dan kajian ini perlu dibuat sebelum berpoligami, bukannya berkahwin dahulu, kemudian jadikan perkahwinan itu satu `eksperimen' untuk menentukan mampu atau tidak, adil tidaknya dan sebagainya.
Segelintir orang Islam berpoligami tetapi kemudian mengabaikan tanggungjawab, tidak adil dan mendatangkan kemudaratan kepada isteri-isterinya dan anak-anaknya. Akibatya Islam yang dikutuk.
Yang bersalah dan patut dikutuk ialah orang itu, bukan Islam. Orang itu ialah suami yang tidak mempunyai ciri-ciri keistimewaan, tetapi masih ingin berpoligami, lantaran hanya berpegang kepada satu prinsip sahaja, iaitu poligami hak mutlak lelaki.
- Musa Awang ialah seorang Peguam Syarie.
Peguam sukar buktikan elemen nusyuz
Oleh Norazlita Mohd. Sies
(WARTAWAN UTUSAN)
Ramai yang berpendapat senjata yang akan digunakan oleh lelaki atau perkara pokok yang bakal dihujahkan di hadapan Hakim Syarie di Mahkamah Syariah tatkala si isteri mengemukakan permohonan untuk bercerai ialah nusyuz.
Memang seolah-olah menjadi lumrah apabila isteri mengemukakan permohonan untuk bercerai di mahkamah, hujah suami akan berkisar pada topik nusyuz (tidak mematuhi perintah yang diberi oleh suami yang sah mengikut hukum syarak).
Sungguhpun begitu, kepayahan para peguam syarie untuk membuktikan elemen nusyuz amatlah getir disebabkan tiadanya pengertian (definisi) khusus dalam undang-undang yang memperihalkan perkara tersebut.
Bahkan Peguam Syarie, Musa Awang menyatakan bahawa tiada satu kes dahuluan yang dapat dijadikan contoh atau sandaran berhubung kes nusyuz.
Kes yang pernah diputuskan hanyalah di peringkat Mahkamah Rendah dan tidak sampai ke peringkat rayuan. Malahan dakwa peguam itu, kes yang diputuskan juga tidak dilaporkan di dalam Jurnal Syariah.
Musa menjelaskan, meskipun ada perkataan nusyuz digunakan dalam Undang-Undang Keluarga Islam, namun tiada takrif khusus tentang nusus menurut hukum syarak.
Peruntukan yang ada, hanyalah samar-samar dan lebih menyentuh tentang efek (kesan) nusus dari segi nafkah. Ia bukan peruntukan khusus tentang nusyuz
Musa berpendapat bahawa peruntukan samar-samar itu tidaklah memadai malah tidak mencukupi untuk menyelesaikan polemik dalam masyarakat.
Sebagai contoh, ujar peguam itu, Seksyen 60 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003, hanya disebutkan beberapa contoh tentang nusyuz iaitu apabila isteri menjauhkan diri dari suami atau meninggalkan rumah dan enggan mengikut suami berpindah.
Sedangkan menurut Musa, pengertian nusyuz itu menurut al-Quran dan Hadis-hadis Nabi s.a.w adalah luas.
``Misalnya apabila suami mengajak isterinya bersetubuh sekalipun di atas kenderaan, isteri menolak maka itu pun dikategorikan sebagai nusyuz.
Dengan kata lain, nusus hanya wujud dari segi perkataan atau dalam bahasa undang-undang tetapi bukannya peruntukan untuk mengisytiharkan isteri nusus di mahkamah.
Justeru Musa berpendapat, ekoran tiadanya tafsiran dan peruntukan bagi membolehkan suami mengisytiharkan isterinya nusus maka ini telah mengundang lakuna (Lakuna iaitu perkara-perkara yang tidak diperuntukkan dengan nyata oleh undang-undang).
Dalam istilah undang-undang, terdapat perbezaan antara `nusus' dengan frasa `tidak menurut perintah.'
Peguam itu menyatakan, nusus dalam bahasa yang paling mudah ialah besar kepala, membangkang, membantah atau derhaka.
Walhal tambah Musa, tidak menurut perintah pula mempunyai pengertian atau definisi yang luas dan pelbagai misalnya bagaimanakah mahkamah hendak menentukan perintah suami sebagai perintah yang sah mengikut hukum syarak.
Sebagai contoh, jelas peguam itu, isteri keluar dari rumah dan suami mengarahkan isterinya pulang semula ke pangkuannya.
Adakah tindakan atau arahan suami itu, boleh dianggap sebagai satu perintah yang sah, kata Musa.
Klasifikasi yang telah dibuat menerusi Seksyen 130 Undang-Undang Keluarga Islam (Selangor) 2003 iaitu bagi kesalahan isteri yang tidak menurut perintah, juga tidak begitu jelas kerana ia menggunakan terma yang kabur.
Apatah lagi sekiranya dilihat dari segi hukuman, Musa menyifatkan ia terlalu rendah dan tidak munasabah iaitu maksimum RM100 sahaja atau bagi kesalahan seterusnya, denda tidak lebih RM500.
``Sehubungan itu, untuk mencegah perbuatan nusus menjadi darah daging maka hukuman bagi kesalahan itu patut diberatkan atau ditambah bagi mengekang ia daripada berlarutan.''
``Misalnya denda dinaikkan kepada RM3,000 atau maksimum penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali,'' ujar Musa yang ternyata bimbang akan perlakuan nusus oleh isteri-isteri di alaf baru ini.
Ini kerana, peguam itu menyatakan bahawa nusus boleh mengakibatkan keruntuhan institusi kekeluargaan dan seterusnya menyumbang kepada peningkatan statistik perceraian.
Mungkin kita akan terkeliru. Suami hanya boleh memohon supaya mahkamah memutuskan bahawa isteri tidak berhak untuk mendapat nafkah yang sepatutnya disebabkan dia (isteri) nusus
Tetapi suami tidak boleh mengemukakan permohonan yang sebaliknya iaitu memohon mahkamah mengisytiharkan isterinya nusus
``Tidak dapat dinafikan pengisytiharan nusus dari segi syarak adalah hak suami. Namun apabila suami memohon mahkamah mengisytiharkan isterinya nusus, mahkamah pula tiada peruntukan untuk berbuat demikian,'' ujar Musa lagi.
Menurut Musa, beliau pernah mengemukakan permohonan untuk mensabitkan isteri yang dikatakan nusus oleh suami.
``Bagaimanapun, permohonan itu ditolak mentah-mentah dengan alasan nusus adalah di bawah bidang kuasa bahagian pendakwaan Pejabat Agama Islam,'' jelas beliau.
Kemudiannya, dakwa Musa, apabila aduan nusus dimajukan kepada pejabat agama untuk membolehkan isteri didakwa di bawah Seksyen 130, tiada sebarang perkembangan mengenainya (tiada tindakan susulan untuk mendakwa isteri di mahkamah).
Peguam itu berpendapat dengan ketiadaan peruntukan dan perincian nusus, seolah-olah suami tidak boleh mengambil tindakan terhadap isterinya yang kadangkala memang ternyata nusus
Ia juga secara tidak langsung, kata Musa, telah menidakkan kuasa suami disebabkan tiadanya undang-undang untuk membolehkan suami bertindak balas atas perlakuan isteri selain daripada menggunakan alasan nusus untuk menidakkan hak isteri ke atas nafkah.
Suhaimi tuntut harta isteri
SHAH ALAM 23 Julai - Bekas ahli geologi Petronas Carigali, Muhamad Suhaimi Abdul Aziz yang membunuh isterinya, seorang eksekutif kanan di Petronas atas alasan kurang siuman, telah mengemukakan bantahan ke Mahkamah Tinggi Syariah di sini bagi mengetepikan permohonan bekas ibu dan bapa mertua yang memohon hak mentadbir harta peninggalan isteri ke atas ketiga-tiga anaknya.
Hakim Syarie Saarani Ismail menetapkan 10 September depan untuk mengetahui siapakah individu yang layak dan berhak mentadbir harta anak-anak Suhaimi sebelum pembahagian harta Faizah Arshad dibuat oleh Amanah Raya Berhad.
Selaku plaintif, Amanah Raya Berhad yang diwakili peguam syarie Zainul Rijal Abu Bakar mengemukakan permohonan untuk menggugurkan nama Suhaimi yang tertera dalam sijil pembahagian harta yang berhak ke atas tiga bahagian daripada jumlah keseluruhan wang tunai RM319,445 peninggalan Faizah.
Selain Suhaimi, dua anak lelaki Faizah berhak menerima dua bahagian masing-masing sementara anak perempuannya hanya satu bahagian, manakala ibu bapa Faizah setiap seorang berhak dua bahagian harta tersebut.
Amanah Raya juga memohon membatalkan Sijil Pembahagian Harta (faraid) bertarikh 13 Oktober 2000 dengan mengeluarkan nama defendan sebagai penerima pusaka. Plaintif juga memohon supaya sijil baru dikeluarkan.
Suhaimi, kini 48 tahun, sebelum ini diletakkan di bawah jagaan Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Ulu Kinta Perak atas perkenan Yang di-Pertuan Agong sehingga 4 Oktober 2007 dan kini menjalani hidup seperti biasa di bawah jagaan bapanya di Terengganu. Keputusan tersebut dibuat Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan pada 19 Januari 2005.
Dia yang diwakili peguam syarie, Musa Awang dalam pernyataan pembelaannya tidak bersetuju sama sekali dengan perkara yang dinyatakan dalam perenggan 15 permohonan ibu bapa mertuanya. Iaitu dia tidak berkelayakan dan tiada hak untuk mewarisi harta peninggalan arwah isterinya.
Suhaimi juga memohon keseluruhan perenggan 16 iaitu permohonan untuk membatalkan sijil pembahagian harta (faraid) bertarikh 13 Oktober dibatalkan.
Suhaimi didakwa membunuh Faizah, 37, dengan cara menikamnya menggunakan sebilah pisau pada pukul 3 petang, 25 September 1999 di bilik air tingkat bawah rumah mereka di No. 40, Lorong Setiapuspa 1, Bukit Damansara di sini.
Pakar Perunding Psikiatri Forensik, Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Ulu Kinta Perak, Dr. Rabaiah Mohd. Salleh yang merawat Suhaimi mengesahkan dia menghidap penyakit psikotik dikenali sebagai 'gangguan dilusi' (delusional disorder) yang termasuk dalam jenis 'cemburu'.
Penyakit itu, menurut pakar, menyebabkan Suhaimi mendengar suara ghaib atau halusinasi sehingga mempercayai bahawa isterinya telah berlaku curang.
MA & ASSOCIATES: MA & ASSOCIATES 2025 - MELANGKAH KE HADAPAN DENGAN...
MA & ASSOCIATES: MA & ASSOCIATES 2025 - MELANGKAH KE HADAPAN DENGAN... : ASSALAMU'ALAIKUM W.B.T. MULAI JUN 2025, FIRMA MA & ...
-
ARKIB : 24/07/2008 SHAH ALAM 23 Julai - Bekas ahli geologi Petronas Carigali, Muhamad Suhaimi Abdul Aziz yang membunuh isterinya, seorang ek...
-
ASSALAMU'ALAIKUM W.B.T. MULAI JUN 2025, FIRMA MA & ASSOCIATES TELAH MENGORAK LANGKAH KE HADAPAN DENGAN MEMBUKA CAWANGAN FIRMA INI DI...
-
MA & ASSOCIATES: MA & ASSOCIATES 2025 - MELANGKAH KE HADAPAN DENGAN... : ASSALAMU'ALAIKUM W.B.T. MULAI JUN 2025, FIRMA MA & ...