Saturday, August 14, 2010

Perintah Mahkamah Syariah selalu diperlekehkan

Utusan Malaysia 26/05/2003

Oleh Norazlita Mohd Sies (Wartawan Utusan)

Bila sebut sahaja tentang perintah mahkamah, pihak-pihak yang diperintahkan itu mestilah akur dengan keputusan yang telah dibuat terhadap mereka.

Meskipun begitu, terdapat segelintir golongan yang bukan sahaja sudah tepu dan mengambil sikap acuh tak acuh malah ada yang mempertikaikan arahan atau perintah yang dikeluarkan.

Fenomena ini boleh dikatakan jarang berlaku di Mahkamah Jenayah dan Sivil tetapi berlainan situasinya dengan Mahkamah Syariah.

Ini kerana, ada pihak yang berurusan dengan Mahkamah Syariah dilihat seolah-olah tidak takut dan memandang remeh perintah atau hukuman yang dikenakan.
Bagi mereka perintah Mahkamah Syariah bukannya perintah Allah atau Rasul sebaliknya perintah manusia yang berbentuk duniawi dan bukannya akhirat.

Walhal mematuhi perintah mahkamah adalah sebahagian daripada mematuhi perintah Allah dan Rasul kerana perintah tersebut dikeluarkan oleh pemerintah atau pihak berkuasa.
Pun begitu, perintah atau hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Jenayah dan Sivil yang juga berorientasikan undang-undang duniawi dilihat lebih digeruni berbanding hukuman Mahkamah Syariah yang kerap ditertawakan dan diperlekeh-lekehkan.

Pengamal undang-undang syarie yang merupakan pemilik firma guaman Musa Awang & Associates, Musa Awang berpendapat keengganan dan kedegilan pihak-pihak tertentu mematuhi perintah Mahkamah Syariah berpunca daripada institusi itu sendiri.

Musa berkata, berdasarkan pengalamannya, Mahkamah Syariah ada kalanya tidak begitu tegas dan terlalu bertolak ansur ketika memutuskan dan mengambil tindakan terutamanya bagi mereka yang melakukan kesalahan menghina dan mengingkari perintah mahkamah.

Memang benar adalah tidak adil jika hanya menuding jari dan menyalahkan mahkamah seratus peratus dalam hal ini.

Ini kerana, jelas Musa, bukan semua hakim tidak tegas ketika menjalankan tugas.
``Saya pernah berhadapan dengan kes di mana seorang ayah berjaya menjelaskan tunggakan nafkah anaknya sebanyak RM12,000 dalam masa beberapa jam setelah hakim yang mendengar permohonan itu dengan tegas memberi pilihan kepadanya sama ada bayar ataupun masuk penjara,'' katanya.

Ketegasan
Musa bagaimanapun menjelaskan, beliau menyedari hakikat bahawa ketegasan seseorang hakim sememangnya dibatasi undang-undang dan berlandaskan kepada prosedur serta bidang kuasa yang telah diperuntukkan kepada mereka.

Namun katanya, bila dikaji peruntukan undang-undang yang ada, tidak dapat disangkal bahawa hukuman atau penalti yang boleh dikenakan oleh Mahkamah Syariah jika dibandingkan, tidaklah setinggi hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Jenayah dan Sivil.

Sebagai contoh, dalam Seksyen 15 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, hukuman ke atas orang yang mengingkari, melanggar, mempersendakan atau menyebabkan dipandang hina apa-apa perintah hakim atau mahkamah hanya boleh didenda tidak lebih RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Selain itu, pengamal undang-undang syarie itu turut berpendapat bahawa kegagalan pihak terbabit mematuhi perintah mahkamah juga disebabkan oleh sikap `pemiutang penghakiman' sendiri.

Misalnya, jelas Musa, dalam kes di mana bekas suami (penghutang penghakiman) diperintahkan membayar nafkah idah dan mutaah kepada isteri (pemiutang penghakiman).
``Sikap isteri yang tidak mengambil langkah susulan yang sewajarnya untuk menggesa bekas suami menjelaskan nafkah tersebut menyebabkan mereka merasa berada dalam situasi selesa dan menjadi `besar kepala'.

``Ada juga segelintir isteri yang malas untuk memanjangkan kes mereka dan tidak kurang pula yang bersungut serta menganggap bahawa merujuk kes ke mahkamah hanya membazirkan wang dan masa,'' katanya.

Dalam soal ini, menurut Musa, beliau amat bersimpati dengan kaum wanita yang berhempas-pulas memperjuangkan nasib mereka dan anak-anak di mahkamah.
Katanya, walaupun perintah demi perintah dikeluarkan oleh mahkamah kepada bekas suami namun ia ibarat mencurah air ke daun keladi.

Sikap keegoan dan kedegilan si suami yang enggan mematuhi perintah tersebut, jelas Musa, bukan sahaja menyeksa bekas isteri bahkan ia seolah-olah sengaja mencabar kewibawaan mahkamah.

Sebenarnya terdapat beberapa langkah yang boleh diambil oleh kaum wanita dalam usaha memastikan bekas suami mematuhi perintah yang telah dikenakan, ujar Musa.

``Seksyen 220 Enakmen Kanun Prosedur Mal Syariah Selangor 1991 misalnya membolehkan mahkamah memanggil pihak yang ingkar memberi notis tunjuk sebab mengapa bekas suami tidak boleh dipenjarakan kerana kesalahan menghina perintah mahkamah.

``Ataupun Seksyen 15 Enakmen Jenayah Syariah Selangor 1995, isteri boleh membuat aduan kepada Bahagian Pendakwaan Pejabat Agama Islam supaya mengambil tindakan jenayah terhadap bekas suami kerana ingkar perintah mahkamah yang membolehkan mereka didakwa atas kesalahan tersebut,'' katanya.

Bagi kes yang melibatkan bayaran pula, jelas Musa, isteri boleh memohon perintah supaya mahkamah merampas dan menjual harta alih milik penghutang (suami).

``Undang-undang turut membenarkan isteri memohon supaya mahkamah menahan harta alih pihak penghutang (suami) yang berada dalam milik pihak ketiga sehingga penghutang berkenaan menyelesaikan apa yang diperintahkan oleh mahkamah terhadapnya,'' katanya.
Selain itu, tambah Musa, isteri dibolehkan mendapatkan perintah mahkamah agar hutang pihak ketiga kepada penghutang (suami) dibayar kepada bekas isteri untuk menjelaskan bayaran perintah yang belum dilaksanakan.

Saham
Mengenai saham pula, kata Musa, mereka (isteri) boleh memohon kebenaran mahkamah supaya menahan saham milik penghutang berserta dividen dan bonus sehingga mereka menjelaskan pembayaran.

Beliau menyatakan bahawa sekiranya mahkamah telah mengeluarkan perintah agar sesuatu harta milik penghutang ditahan maka ia tidak boleh dipindah milik kecuali ada perintah susulan yang membenarkan mereka berbuat demikian.

``Bagi suami yang bekerja dan mempunyai pendapatan tetap, bekas isteri boleh meminta bayaran pelaksanaan perintah dibuat melalui potongan gaji penghutang,'' jelasnya.
Perlu ditegaskan di sini, kata Musa, pihak pemohon (isteri) tidak perlu takut dan bimbang mereka dianggap `zalim' bila mengemukakan permohonan-permohonan tersebut kerana ia memang telah termaktub dalam undang-undang.

``Adalah menjadi kewajipan suami untuk mematuhi dan melaksanakan apa yang telah diperintahkan oleh mahkamah dan bekas isteri sememangnya berhak atas segala haknya,'' katanya.

Dalam banyak hal yang melibatkan tuntutan nafkah anak, menurut Musa, suami seringkali melewat-lewatkan pembayaran dengan alasan mereka tidak mampu.

``Jika benar-benar tidak mampu, mereka sepatutnya mengemukakan permohonan kepada mahkamah untuk mengubah perintah asal dan bukannya membangkitkan isu tersebut selepas bekas isteri mengambil tindakan.

``Ingatlah, perintah yang telah dikeluarkan akan terus berjalan dan berkuat kuasa melainkan ada perintah susulan yang lain yang mengubah perintah asal,'' nasihatnya.
Segala kelemahan dan kritikan, pada pendapat Musa boleh ditangani dengan bijak agar ia tidak mencacatkan imej institusi kehakiman syarie.

Beliau antaranya mengesyorkan supaya Mahkamah Syariah menubuhkan suatu komiti khusus untuk mendengar dan memutuskan kes-kes berkaitan dengan penguatkuasaan dan pelaksanaan perintah bayaran.

``Pada pandangan saya, kes pelaksanaan perintah nafkah patut diasingkan daripada kes-kes lain,'' katanya.

Dari segi hukuman pula, katanya, Mahkamah Syariah sepatutnya diberi kuasa menjatuhkan hukuman yang lebih berat dalam usaha memartabatkan kembali imej institusi tersebut agar lebih digeruni.

Di samping itu, tegas beliau, hukuman yang lebih tinggi secara tidak langsung diharap dapat memberi pengajaran dan mengekang kedegilan pihak tertentu yang sengaja memperkotak-katik serta enggan mematuhi perintah yang dikenakan.

No comments:

Post a Comment

FIRMA TETUAN MA & ASSOCIATES 2024

PENGENALAN FIRMA TETUAN MA & ASSOCIATES ® Peguam Syarie. Perunding Syariah,  Perunding Wasiat, Hibah & Faraid,  Mediator Bertauliah ...